SHAH ALAM, 25 OGOS: Orang ramai masih berpeluang memenangi pakej Umrah secara percuma melalui pendaftaran eZakat Online (eZO) sehingga 18 November ini.
Kempen itu membolehkan peserta memenangi pakej umrah bernilai sehingga RM6,000 bagi hadiah utama selain pakej pelancongan dan gajet kepada pemenang bertuah.
Selain itu, pengeluar zakat juga berpeluang menyemak maklumat bayaran zakat, mengemaskini maklumat, membayar zakat secara atas talian dan mencetak penyata zakat.
“Semua pemenang dipilih melalui cabutan setelah tamat tempoh kempen dengan hanya perlu klik di laman sesawang www.zakatselangor.com.my/ezo,” kata Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam satu kenyataan.
Selain hadiah utama, pembayar zakat juga berpeluang memenangi baucer bulanan bernilai RM500 sebelum kemuncak kempen eZO berlangsung.
Peluang peserta untuk memenangi hadiah lebih tinggi jika menunaikan zakat sama ada zakat fitrah atau harta sepanjang tempoh kempen menggunakan kaedah atas talian.
“Bagi peserta yang mendaftar eZO, cabutan nama dilakukan sekali, manakala peserta mendaftar eZO dan menunaikan zakat secara atas talian, nama mereka dicabut sebanyak dua kali,” katanya.
http://bm.selangorku.com/category/berita-selangor
Kemaskini pada 2015-09-03 14:50:45 daripada Administrator