Tetapan Semula Menukar kontras kepada cerahMenukar kontras kepada asalMenukar kontras kepada gelapKecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T
    T
    T
    T
logo-jatalogo-suk

Portal Rasmi

KERAJAAN NEGERI SELANGOR

Bahasa | English

Sejarah Menteri Besar

Sejarah Menteri Besar Selangor


MANTAN DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
 

DATO’ HAMZAH BIN ABDULAH
DATO’ HAMZAH BIN ABDULAH 
(1949)

Dilahirkan pada 4 Disember 1890 di Kuala Selangor. Mendapat pendidikan di Sekolah Melayu, Kuala Selangor. Berkhidmat dengan kerajaan pada tahun 1908. Menjadi Pegawai M.C.S dari tahun 1921 hingga 1940. Menjadi Setiausaha kepada Sultan Selangor dari tahun 1941 hingga 1948. Kemudiannya menjadi Menteri Besar Selangor pada tahun 1949. Beliau bersara pada tahun yang sama.
 

RAJA TUN UDA Al-HAJ RAJA MOHAMAD
RAJA TUN UDA Al-HAJ RAJA MOHAMAD 
(1 JULAI 1949 – 1953)


Dilahirkan pada tahun 1894 di Kuala Langat. Menerima pendidikan di Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak. Mula berkhidmat dengan kerajaan pada tahun 1910. Dilantik sebagai Setiausaha kepada Residen British di Selangor pada tahun 1939 dan merupakan lantikan pertama di kalangan orang Melayu. Menjadi pegawai M.C.S pada bulan Februari 1948. Pada 1 Julai 1949, beliau dilantik menjadi Menteri Besar Selangor sehingga tahun 1953. Pernah menjawat sebagai Pesuruhjaya Negeri-Negeri Melayu ke United Kingdom. Pada 24 Ogos 1955, beliau diberi tugas sebagai Speaker Majlis Persekutuan. Selepas itu pada 31 Ogos 1957, beliau dilantik sebagai Gabenor Pulau Pinang, bersara pada bulan Ogos 1967.

DATO’ OTHMAN BIN MOHAMAD
DATO’ OTHMAN BIN MOHAMAD
(MAC 1953 – 1954)


Dilahirkan pada 5 Januari 1905  di Klang. Mendapat pendidikan di Victoria Institution, Kuala Lumpur. Memulakan kerjayanya sebagai pegawai kerajaan dalam tahun 1925 di Pejabat Tanah dan Perbendaharaan Negeri. Pernah menjawat jawatan sebagai Penolong Pegawai Daerah di beberapa tempat di Selangor. Dalam tahun 1934, beliau melanjutkan pelajaran ke United Kingdom. Sekembalinya dari sana beliau dilantik menjadi Pegawai Daerah Hulu Langat. Pada tahun berikutnya beliau berkhidmat sebagai M.C.S dan kemudiannya dilantik sebagai Setiausaha kepada Sultan Selangor. Menjadi Majistret pertama di Kuala Lumpur dan Setiausaha Jawatankuasa Pertubuhan Perkhidmatan Kolonial (Colonial Organisation Committee). Beliau kemudiannya bertugas ke Negeri Sembilan untuk memegang jawatan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dan kemudiannya kembali ke Selangor untuk memegang jawatan yang sama dalam tahun 1950. Dalam bulan Mac 1953 beliau dilantik sebagai Menteri Besar Selangor sehingga 1954. Selepas itu beliau menjadi Pesuruhjaya Tanah Melayu di United Kingdom. Selepas kembali dari United Kingdom beliau memegang jawatan sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Luar, tetapi terpaksa bersara pada bulan Mac disebabkan gangguan kesihatan.
 

DR. ABD AZIZ HAJI ABD MAJID
DR. ABD AZIZ HAJI ABD MAJID
(1955 – 1956)

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Tinggi Kajang. Pernah menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Pada tahun 1955 beliau dilantik sebagai Menteri Besar Selangor sehingga 1956 dan kemudiannya memegang jawatan Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan merupakan salah seorang delegasi misi kemerdekaan Tanah Melayu di London untuk rundingan Perlembagaan dalam tahun 1956 dan 1957. Beliau juga adalah bekas pembantu Ketua Setiausaha Pertahanan Kerajaan Persekutuan.
 

TUAN MUHAMMAD ISMAIL BIN ABDUL LATIFF
TUAN MUHAMMAD ISMAIL BIN ABDUL LATIFF
(1956 - 1958)

 

Dilahirkan di Klang, Selangor. Mendapat kelulusan Senior Cambridge, Beliau adalah daripada keluarga ternama di Selangor. Bapanya, Dr. Abdul Latiff ialah anak Melayu pertama menjadi doktor di Kuala Lumpur manakala datuknya Abdul Razak ialah seorang Majistret Melayu pertama di Selangor. Adiknya pula Tan Sri Yaakob, seorang Datuk Bandar Kuala Lumpur yang terkenal. Muhamad Ismail bin Abdul Latiff pernah bertugas dengan Kerajaan Selangor dan memegang beberapa jawatan termasuk Setiausaha Kerajaan Selangor. Beliau telah berkhidmat sebagai Menteri Besar Selangor bermula dari tahun 1956 hingga 1958.
 

TAN SRI ABD. JAMIL BIN RAIS
TAN SRI ABD. JAMIL BIN RAIS
(1958 – 1959)

Dilahirkan pada 14 Januari 1912. Mendapat pendidikan di sekolah Clifford dan melanjutkan pelajarannya ke Universiti Oxford, England. Memasuki Malayan Administration Service dalam bulan Julai 1932. Pernah bertugas di Kuala Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Perlis. Pernah memegang jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.

Pada tahun 1951 dan 1952, beliau menjadi Pegawai Kewangan Negeri Selangor. Dalam tahun 1954-1956, beliau bertugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Pada tahun 1958-1959 beliau dipilih menjadi Menteri Besar Selangor. Kemudiannya dalam tahun 1961-1964 dilantik sebagai Setiausaha Perbendaharaan Negara. Selepas itu menjadi Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri dan Setiausaha Kabinet (1964-1967). Dalam bulan November 1967, beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom dan pernah menjadi Duta Negara ke Republik Ireland.
 

DATO’ ABU BAKAR BIN BAGINDA
DATO’ ABU BAKAR BIN BAGINDA
(1959 - 1964)

Dilahirkan pada 3 November 1899. Menerima pendidikan di Sekolah Victoria Institution, Kuala Lumpur. Mula berkhidmat dengan kerajaan sejak tahun 1917 sebagai Kerani Audit di Selangor. Pada tahun 1919, beliau berkhidmat sebagai Inspektor Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Kemudian dinaikkan pangkat sebagai A.S.P. Bersara semasa menjawat pangkat A.C.P. Selepas bersara pada tahun 1953, Dato’ Abu Bakar aktif dalam politik. Menyertai UMNO pada tahun 1948. Pada tahun 1953, beliau terpilih menjadi Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat. Menyertai Pilihan raya Persekutuan 1955 bagi kawasan Hulu Langat. Seterusnya merupakan Speaker pertama bagi Dewan Negeri Selangor dalam bulan September 1958. Dalam tahun 1959, beliau sekali lagi bertanding dalam pilihan raya Umum bagi kawasan Sepang dan berjaya dalam pemilihan tersebut.

Mulai 30 Mei 1959 hingga 24 April 1964, beliau merupakan Menteri Besar Selangor yang pertama dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya selepas Merdeka.
 

DATO’ SERI HAJI HARUN BIN HAJI IDRIS
DATO’ SERI HAJI HARUN BIN HAJI IDRIS
(1964 – 1976)

 

Dilahirkan di Petaling pada 21 Julai 1925. Menerima pendidikan di Victoria Institution, Kuala Lumpur dan Middle Temple. Menjadi pegawai di Jabatan Publisiti hingga 1948. Kemudian berkhidmat sebagai pegawai dalam Malay Administration Service. Menjadi Pegawai Daerah Gemas dan Tampin, Negeri Sembilan. Beliau pernah berkhidmat sebagai Majistret di Mahkamah Kuala Lumpur. Menjelang tahun 1953, beliau berangkat ke United Kingdom untuk mempelajari undang-undang. Sekembalinya ke tanah air pada tahun 1957, beliau berkhidmat sebagai Presiden mahkamah Seksyen, Taiping. Menyertai Attorney General’s Chambers sebagai D.P.P dan bertugas sebagai Pendaftar Pertubuhan. Selepas itu dilantik menjadi Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor. Pada 19 Mac 1964, terpilih sebagai Menteri Besar Selangor sehingga 24 Mac 1976.

Antara jawatan terpenting yang diterajui oleh beliau ialah Timbalan Presiden UMNO dan Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Beliau pernah menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor sejak 1960 dan Ahli Majlis Persatuan Bola Sepak Malaysia.
 

DATO’ SERI HAJI HORMAT BIN RAFEI
DATO’ SERI HAJI HORMAT BIN RAFEI
(1976 – 1982)

 

Dilahirkan pada 21 Jun 1923. Sebelum aktif dalam politik sejak September 1963, beliau merupakan seorang kontraktor. Beliau menang dalam Pilihan Raya Kecil kawasan Telok Datok pada 7 September 1963 dan dilantik sebagai ahli politik selama empat (4) penggal dan menang tanpa bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1974. Beliau pernah mencurahkan khidmat baki di Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan. Beliau juga merupakan ketua UMNO Bahagian Kuala Langat. Beliau dilantik sebagai Menteri besar Selangor mulai 15 April 1976 hingga 3 Mei 1982.
 

TAN SRI DATO’ HAJI AHMAD RAZALI BIN HAJI MOHD ALI
TAN SRI DATO’ HAJI AHMAD RAZALI BIN HAJI MOHD ALI
(1982 – 1986)

Dilahirkan pada 10 Disember 1928 di Klang. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Melayu, Arab dan Inggeris. Pernah dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Dato’ Harun bin Idris (1964 – 1969). Menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil dari tahun 1974 hingga 1982 dan menjadi Ketua UMNO di sana. Pernah juga dilantik sebagai Ahli Majlis tertinggi UMNO Malaysia (1975 – 1978). Dari tahun 1969 hingga 1982 beliau dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Negeri Selangor. Sebelum dilantik menjadi Menteri Besar pada 4 Mei 1982 beliau pernah menjadi Timbalan kepada Menteri Besar hingga 1982. Pada tahun 1982 beliau telah dilantik sebagai Pengerusi badan Perhubungan UMNO Selangor. Mengakhiri karier sebagai Menteri Besar pada 13 Ogos 1986.
 

TAN SRI DATO’ HAJI MUHAMMAD BIN HAJI MUHAMMAD TAIB
TAN SRI DATO’ HAJI MUHAMMAD BIN HAJI MUHAMMAD TAIB
(14 OGOS 1986 – 14 APRIL 1997)

 

Dilahirkan di Kampung Sungai Manggis, Kuala Kalumpang, Kalumpang, Hulu Selangor. Berkelulusan B.A. (Hons) Universiti Malaya pada tahun 1979. Sebelum ini pernah mengajar di Sekolah Kebangsaan Felda Gedangsa, Hulu Selangor dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor. Pada tahun 1980, beliau dilantik menjadi Penolong Pengarah di Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pelajaran, Kementerian Pendidikan Malaysia. Pada tahun 1981 dilantik sebagai Pegawai Khas kepada Timbalan Menteri Pelajaran. Tan Sri Dato’ Muhamaad mula berkecimpung dalam politik pada tahun 1964. Beliau mula aktif dalam politik pada tahun 1980 apabila dilantik menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Hulu Selangor dan telah memenangi Pilihan Raya Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Batang Kali pada 22 April 1982. Pada tahun 1986 pula beliau telah menang tanpa bertanding dalam pilihan raya umum bagi kawasan yang sama. Seterusnya beliau telah memenangi pilihan raya bagi kawasan Batang Kali pada pilihan raya tahun 1990 dan tahun 1995. Beliau telah dilantik sebagai Menteri Besar Selangor mulai 14 Ogos 1986 hinggalah beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar pada 14 April 1997. Ketua Penerangan UMNO Malaysia. Kini beliau berkhidmat sebagai Ketua Penerangan UMNO Malaysia.
 

TAN SRI DATO’ SERI (DR.) HAJI ABU HASSAN BIN HAJI OMAR
TAN SRI DATO’ SERI (DR.) HAJI ABU HASSAN BIN HAJI OMAR
(6 JUN 1997 – 9 OGOS 2000)

 

Dilahirkan pada 15 September 1940 di Bukit Belimbing, Kuala Selangor. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Bukit Belimbing, Kuala Selangor (1946 – 1950), High School, Klang ( 1951 – 1957), Malay College, Kuala Kangsar (1958 – 1959) dan di Universiti Hull, England (1960 – 1960 dan 1971 – 1973).
Sebelum menceburkan diri di bidang politik beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik mulai 1964 hingga 1978. Jawatan-jawatan kerajaan yang pernah disandang ialah sebagai Ketua Penolong Setiausaha Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan Timbalan Setiausaha, Kementerian Tanah & Pembangunan Wilayah Persekutuan. Beliau memulakan karier politiknya apabila memenangi pilihan raya bagi kawasan Parlimen Kuala Selangor pada 8 Julai 1978. Pada 30 April 1997 pula beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Kawasan Kuala Selangor untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Kawasan Permatang bagi mengisi kerusi yang dikosongkan oleh Dato’ Jamaluddin bin Adnan. Pada 2 Mei dicalonkan sebagai bakal Menteri Besar Selangor. Akhirnya pada 29 Mei beliau telah memenangi Pilihan Raya Kecil dan seterusnya dilantik sebagai Menteri Besar Selangor pada 6 Jun 1997 hingga 9 Ogos 2000.   

 

DATO' SERI DR MOHAMAD KHIR BIN TOYO 
DATO' SERI DR MOHAMAD KHIR BIN TOYO
(18 OGOS 2000 - 13 MAC 2008)

 

Dilahirkan pada 6 Ogos 1965 di Sungai Burung, Tanjung Karang, Selangor. Beliau merupakan anak ke-5 daripada 9 orang adik beradik. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Dato' Harun Tanjung Karang (1982 – 1984), Sekolah Menengah Kebangsaan Sg. Besar, seterusnya menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Pembedahan Pergigian, Fakulti Pergigian Universiti Malaya (1985 - 1989). Beliau merupakan seorang doktor gigi sebelum menceburkan diri di bidang politik. Beliau memiliki Klinik Pergigian Khir di bandar Kajang, Selangor. Beliau mula memegang jawatan sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Dato' Seri Abu Hassan Omar mulai 18 Ogos 2000 sehingga 13 Mac 2008.

 

 

khalidibrahim 
TAN SRI DATO' SERI ABDUL KHALID BIN IBRAHIM
(13 MAC 2008 - 23 SEPT 2014)

 

 

 

menteri besar

DATO' SERI MOHAMED AZMIN BIN ALI
(23 SEPT 2014 - JUN 2018)

 

menteri besar
DATO' SERI AMIRUDIN BIN SHARI
(JUN 2018 - KINI)

 


Kemaskini pada 2021-05-24 10:40:46 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page