Tetapan Semula Menukar kontras kepada cerahMenukar kontras kepada asalMenukar kontras kepada gelapKecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T
    T
    T
    T
logo-jatalogo-suk

Portal Rasmi

KERAJAAN NEGERI SELANGOR

Bahasa | English

Bola Sepak

Stiker Kereta


Kelab Bola Sepak di Selangor

Sebelum Persatuan Bolasepak Selangor ditubuhkan secara rasmi, hanya terdapat persatuan yang menguruskan liga dalaman negeri, dikenali sebagai SAFL (Selangor Association Football League) yang ditubuhkan pada 1905. Piala pertama yang dipertaruhkan ditaja oleh Residen British bagi negeri Selangor ketika itu iaitu RG watson. Malah diberitakan, persatuan itu diterajui oleh Residen-Residen British pada waktu itu.

Pada 1926, politik dalaman dan krisis menyebabkan sebahagian pegawai persatuan menarik diri lalu menubuhkan sebuah persatuan berasingan yang dinamakan Selangor Football Association (SFA).

Pertelingkahan di antara SAFL dan SFA berterusan hampir sepuluh tahun lamanya sebelum kedua-dua pihak kembali ke meja rundingan demi kepentingan dan kebaikan bolasepak negeri. Akhirnya kedua-dua persatuan bergabung secara rasmi pada 22 Februari 1936, di bawah nama Football Association of Selangor (FAS) atau Persatuan Bolasepak Selangor.

Namun Perang Dunia Kedua yang meletus membantutkan usaha FAS untuk memajukan bolasepak negeri. Usaha berkenaan bermula secara agresif sebaik sahaja perang tamat, dengan presiden rasmi pertama FAS tidak lain dan tidak bukan adalah Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Usaha memartabatkan bolasepak negeri diteruskan dengan FAS merancang pembinaan sebuah stadium bolasepak khas untuk pasukan negeri. Selangor yang sebelum itu menjadikan Padang Kelab Selangor (kini Dataran Merdeka) sebagai gelanggang jelas memerlukan sebuah stadium sendiri selaras dengan wawasan persatuan.

FAS menemui Datuk Bandar Kuala Lumpur beberapa kali bagi mendapatkan kebenaran pembinaan stadium tersebut namun masih tidak mendapat penyelesaian mutlak. Impian melihat Selangor beraksi di stadium sendiri tampak semakin samar dari hari ke hari.

Namun, perlantikan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (kini memegang jawatan presiden bagi kedua-dua FAS dan FAM) sebagai bakal Perdana Menteri bagi Malaya yang baru mencapai kemerdekaan merintis kembali usaha pembinaan stadium ini.

Tunku mengarahkan pembinaan Stadium Merdeka bagi meraikan kemerdekaan negara sekaligus menjadi gelanggang rasmi pasukan negeri Selangor. Stadium Merdeka turut menjadi gelanggang rasmi negara dalam menganjurkan sukan peringkat antarabangsa.

Nama yang menjadi semakin sinonim dengan bolasepak Selangor era 60-an adalah Datuk Harun Idris. Beliau menjadi presiden Persatuan Bolasepak Selangor selama 21 tahun dari 1961 hingga 1982. Sepanjang tempoh kepimpinan beliau, Selangor meraih 15 Piala Malaysia di samping melakukan banyak perubahan positif kepada persatuan.

FAS pada asalnya beribu pejabat di bangunan MCA lama di jalan Ampang sebelum pembinaan Wisma FAS pada 1973 di sebelah Stadium Merdeka atas usaha Datuk Harun sendiri (juga Menteri Besar selangor pada ketika itu) dan pengurus pasukan, Tan Sri Hamzah Abu Samah. Pada pertengahan 1990-an, FAs berpindah lagi ke Wisma FAS di Kelana Jaya hingga kini.

Sejak penubuhannya pada 1936, Selangor telah meraih 29 Piala Malaysia, juara Divisyen 1/Premier 1 sebanyak 4 kali, juara Piala FA sebanyak 3 kali dan menjadi satu-satunya pasukan Malaysia yang berjaya melangkah ke perlawana akhir Piala Kelab Asia sekaligus menjadikannya pasukan paling berjaya di arena bolasepak tempatan.

Antara mereka yang bertanggungjawab di atas kejayaan pasukan Merah Kuning ini adalah seperti presiden-presidennya: Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Datuk Harun Idris, Datuk Aini Taib, Tan Sri Muhammad Hj Muhammad Taib, Tengku Ahmad Shah; pengurus-pengurus pasukan: Tan Sri Hamzah Abu Samah, Mohd Noor Khamis, Mazlan Harun, Dr Nordin Selat, Datuk Mokhtar Ahmad; jurulatih-jurulatih: M Chandran, Khaidir Buyong, Ken Worden dan ramai lagi tokoh-tokoh yang tidak disebutkan di sini.

Negeri Selangor turut mempunyai ramai bintang bolasepak yang membawa kejayaan kepada negeri dan negara seperti Raja Bola Ghani Minhat, lagenda Allahyarham Mokhtar Dahari, Santokh Singh, Zainal Abidin Hassan, Wong Choon Wah, Khan Hung Meng, Azman Adnan dan ramai lagi.

*Untuk maklumat lanjut sila layari, http://www.selangorfc.com/

Sumber : http://www.selangorfc.com/


Kemaskini pada 2013-12-09 14:25:52 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page