Reset Setting Change contrast to brightChange contrast to originalChange contrast to darkChange to thin layoutChange to default layoutChange to wide layoutChange font size to lower sizeChange font size to original sizeChange font size to large size
T
T
T
T
T
T
Portal Rasmi
KERAJAAN NEGERI SELANGOR
Daftar
Daftar

Selangor bebas jangkitan rabies namun waspada

SHAH ALAM, 19 JULAI: Penduduk di negeri ini diminta berhati-hati dan dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan sekiranya digigit anjing atau kucing.

Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, walaupun Selangor bebas jangkitan setakat ini namun ia menyebabkan kebimbangan orang ramai.

Katanya, hal itu kerana sekiranya mereka digigit atau dicakar haiwan terbabit ianya mempunyai risiko jangkitan penyakit anjing gila atau rabies.

“Individu yang digigit anjing atau kucing harus segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan walaupun tinggal di luar kawasan jangkitan rabies.

“Wabak ini agak menakutkan dan menimbulkan kebimbangan orang ramai, oleh itu saya menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati,” katanya kepada SelangorKini ketika ditemui di Rumah Terbuka Invest Selangor, di Pusat Konvesyen Shah Alam, di sini.

Dr Daroyah berkata pemilik haiwan terbabit turut disarankan memastikan haiwan peliharaan mereka dalam keadaan sihat dan bebas sebarang jangkitan.

Selain itu, katanya ibu bapa perlu memastikan atau mengawal pergerakan anak-anak di luar rumah.

Pada masa sama, Dr Daroyah berkata Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga perlu mengambil tindakan tegas dan memantau anjing yang berkeliaran di kawasan masing-masing.

“Bagaimanapun, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak terlalu panik dalam hal ini,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Perak, Dr Fuziah Muhayat berkata risiko jangkitan penyakit itu bukan hanya melibatkan anjing.

Selasa lalu, seorang suri rumah digigit kucing peliharaannya di Kampung Menteri, Kuala Sepetang, namun pemeriksaan mendapati tiada tanda klinikal pada kucing tersebut dan tindakan kuarantin serta pemerhatian klinikal dilakukan ke atas haiwan itu sehingga tempoh 14 hari.

Terbaru, seorang lelaki disahkan dijangkiti rabies, atau penyakit anjing gila di daerah Serian, menjadikan dia sebagai orang kelima yang dijangkiti penyakit itu sejak dikesan di daerah berkenaan bulan lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lelaki berumur 52 tahun dari Kampung Remun, Serian itu disahkan dijangkiti rabies menerusi ujian makmal pada 18 Julai.

Sumber : Selangorkini


Kemaskini pada 2017-07-20 09:35:52 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page