SHAH ALAM, 31 OGOS: Semangat permuakatan mencapai kemerdekaan yang dipegang utuh masyarakat dahulu wajar dicontohi rakyat dalam usaha mengekalkan keharmonian negara.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, prinsip berkenaan sekali gus menjunjung hak bangsa pasca merdeka untuk kekal menikmati keamanan negara tercinta.
“Kemerdekaan negara pada 1957 tercapai kerana muafakat utuh bukan sahaja dalam kalangan anak watan tetapi tenaga rakyat yang digembleng bersama petani, buruh, nelayan dan guru daripada pelbagai agama juga kaum.
“Kesatuan umat ini terbina atas satu semangat menentang penjajah asing bagi mengembalikan maruah rakyat dan tanah air tercinta.
“Semangat nasionalisme sangat tinggi membara dalam rakyat perlu dipertahankan untuk membebaskan negara daripada belengu penjajah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Kemerdekaan Peringkat Selangor, di Dataran Kemerdekaan, di sini, malam tadi.
Sambutan itu menyaksikan 10,000 warga Selangor membanjiri perkarangan Dataran Kemerdekaan bagi meraikan sambutan kemerdekaan ke-60 yang turut dihadiri Exco Kerajaan Negeri antaranya Dato’ Iskandar Abdul Samad, Zaidy Abdul Talib, Dr Daroyah Alwi, Amirudin Shari dan Ean Yong Hian Wah.
Pada masa sama, Mohamed Azmin turut mengetuai laungan kemerdekaan sebanyak tujuh kali sebagai simbolik sambutan kemerdekaan peringkat negeri.
Ungkapan keramat ‘Merdeka’ itu kemudiannya disambut hadirin dengan iringan persembahan bunga api dan nyanyian lagu patriotik.
Terdahulu, Kerajaan Negeri mengekalkan ‘SelangorKu Sehati Sejiwa’ sebagai tema kemerdekaan tahun ini dengan mengambil kira semangat keharmonian antara Kerajaan Negeri, Persekutuan dan masyarakat.
( Sumber : Selangorkini )
Kemaskini pada 2017-09-05 07:52:21 daripada