Tetapan Semula Menukar kontras kepada cerahMenukar kontras kepada asalMenukar kontras kepada gelapKecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T
    T
    T
    T
logo-jatalogo-suk

Portal Rasmi

KERAJAAN NEGERI SELANGOR

Bahasa | English

MB: PBT diberi kuasa mewajibkan bahasa Melayu betul dan tepat

SHAH ALAM, 20 OKT: Kerajaan Negeri akan memastikan penggunaan bahasa Melayu di kawasan awam dipaparkan secara betul mengikut peraturan ditetapkan serta mendapat kelulusan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan dipergiat untuk memurnikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

eee(resize)

“Di peringkat negeri Selangor, saya akan memastikan berlakunya transformasi dalam citra bahasa kebangsaan di tempat awam melalui penguatkuasaan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

“Ketetapan Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan pada 4 Mac lalu yang mensyaratkan agar PBT mewajibkan semua pengiklan dan pihak yang ingin memaparkan produk atau perkhidmatan di tempat awam perlu mendapat pengesahan dan kelulusan DBP terlebih dahulu hendaklah dipatuhi sebelum permit dikeluarkan,” katanya berucap dalam Majlis Perhimpunan Bulanaan Jabatan-Jabatan Kerajaan dan Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2014 di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Awang Sariyan.

Kerajaan Negeri juga akan berusaha menubuhkan badan pemikir yang dapat mengetengahkan pelan tindakan strategik untuk meningkatkan penyuburan program bahasa, persuratan dan kebudayaan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) sedia ada di Selangor.

Katanya, pihaknya bukan sahaja mahu menjadikan Selangor sebagai negeri gerbang ekonomi tetapi juga gerbang tamadun yang hebat dan cemerlang.

“Untuk peningkatan kemahiran bahasa bagi komunikasi berkesan, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Akademi DBP dalam pengendalian kursus penataan bahasa dan komunikasi bagi semua pegawai pelbagai peringkat di negeri ini,” katanya.

Azmin berkata, usaha DBP melaksanakan Audit Bahasa Melayu di kementerian dan pejabat serta agensi kerajaan negeri dan juga institut pengajian tinggi perlu mendapat dukungan semua pihak supaya laporan lengkap dapat dikemukakan mengenai tahap dan mutu penggunaan bahasa kenbangsaan.

Awang dalam ucapannya memuji tahap penggunaan bahasa kebangsaan di kalangan penjawat awam dan tempat awam di Selangor.

“Alhamdulillah maklum balas diterima setakat ini menunjukkan kesan positif daripada semua penjawat awam bahawa perlunya penggunaan bahasa kebangsaan dipertingkatkan sebagai bahasa rasmi dalam segala urusan pentadbiran.

“Selangor telah dikunjungi DBP dan saya bangga kerana Selangor mencapai tahap membanggakan iaitu tahap lima bintang bagi penggunaan bahasa kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian merujuk kejayaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mendapat pengiktirafan lima bintang iaitu tahap tertinggi dalam Program Penarafan Bintang Bahasa Kebangsaan PBT iaitu program kerjasama DBP dengan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.


Sumber : www.selangorku.com


Kemaskini pada 2014-10-30 09:32:22 daripada Administrator

  •  
  • Print