
Shazeli (tengah) meninjau rampasan barang kes yang dilaksanakan polis berhubung kes sindiket penipuan baru-baru ini.
HULU SELANGOR - Sindiket penipuan 'Fly By Night' yang memperdaya syarikat pembekal barangan dengan helah resit pembayaran palsu sejak Jun lalu tumpas baru-baru ini.
Siri serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor ini berjaya menahan lima lelaki termasuk seorang warga asing.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi pertama melibatkan penahanan tiga lelaki berusia lingkungan 53 hingga 58 tahun di Bandar Mahkota Cheras pada jam 2.15 petang, 26 September lalu.
Menurutnya, pada 1 Oktober polis telah memeriksa sebuah gudang simpanan di Kajang yang digunakan sindiket untuk menyimpan barangan yang dibeli daripada mangsa melalui penipuan terbabit.

Shazeli menunjukkan paparan gambar gudang simpanan di Kajang yang diserbu polis baru-baru ini.
"Polis telah merampas pelbagai barangan yang dipercayai dibeli hasil penipuan termasuk plastik pembungkus, baja sawit, barangan dapur, silinder gas, pendingin udara, pemampat udara, minyak enjin, minyak hidraulik, cat, salutan cat penebat haba dan sebuah sebuah lori. "Selain itu, dua lagi ahli sindiket ditahan terdiri daripada seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun dan seorang lelaki warga asing berusia 30 tahun,” katanya pada sidang akhbar di IPD Hulu Selangor pada Isnin.
Beliau berkata, penemuan pelbagai barangan di gudang tersebut telah membantu pihak polis menyelesaikan enam kes penipuan di Selangor yang melibatkan kerugian sebanyak RM166,338.10 selain dua kes penipuan di Perak yang melibatkan kerugian sebanyak RM55,515.70.
Tambahnya, semakan mendapati empat suspek memiliki rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

Antara barang kes yang dirampas polis dalam serbuan di sebuah gudang di Kajang membabitkan sindiket penipuan baru-baru ini.
Katanya lagi, ujian saringan air kencing juga mendapati dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Mengulas mengenai modus operandi sindiket, Shazeli menjelaskan, suspek akan membuat pesanan pembelian melalui panggilan telefon kepada syarikat (mangsa) dan kemudian menyerahkan resit palsu sebagai bukti kononnya pembayaran telah dibuat.
“Sindiket juga akan menggunakan khidmat syarikat pengangkutan untuk mengambil barangan dari syarikat mangsa, tetapi meminta syarikat pengangkutan menurunkan barangan tersebut di lokasi yang berlainan dari alamat yang diberikan dan seterusnya menjual semula barangan tersebut dengan potongan 50 peratus daripada harga asal.
"Syarikat yang menjadi mangsa antaranya syarikat barang elektrik, pembinaan serta komersial. Suspek akan mencari pelanggan secara kecil-kecilan atau individu,” katanya.
Tegasnya, kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 8 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Kemaskini pada 2025-10-07 08:41:45 daripada Administrator




.png)


Hari Ini
Minggu Ini
Bulan Ini
Jumlah Pelawat