BUKIT BERUNTUNG - Penduduk perumahan Jalan Ros di sini mendakwa sampah di kawasan perumahan itu tidak diselenggara dan dikutip mengikut jadual sejak tiga bulan lalu.

Pengerusi Kejiranan Rukun Tetangga (KRT), Mohd Rasul Wagimo, 45, berkata, sampah di kawasan itu sepatutnya dikutip tiga kali seminggu oleh kontraktor yang dipertanggungjawabkan.

“Kami tak tahu apa masalah kontraktor, kami risau sebab kawasan perumahan ni antara kawasan 'hot spot' kes denggi di Hulu Selangor.

“Untuk Januari dan Februari saja, dah 15 kes denggi direkodkan, saya tak naklah kes ini bertambah buruk,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, penduduk juga terpaksa menahan bau busuk setiap hari akibat masalah berkenaan.

“Bukan tak mahu mengadu pada pihak berkuasa tempatan (PBT) tetapi kami tak tahu saluran yang betul. Lagipun, KRT di kawasan kami pun baru saja ditubuhkan,” katanya.

Bagi Rakiah Ahmad, 49, berkata, penduduk di sini sudah pun mengambil inisiatif sendiri mengadakan gotong-royong membersihkan longkang dan rumah kosong.

“Kami nak bersihkan mana-mana tempat pembiakan nyamuk aedes. Tapi sampah tu bukan tanggungjawab kami, kami harap pihak berkenaan ambil perhatian perkara ini,” katanya.