Facebook Rasmi Sekretariat SUKMA 2026 : https://www.facebook.com/sekretariat.sukma2026
Ikuti liputan Sukan Selangor Di Media Selangor : https://selangorkini.my/category/agenda-bm/sukankini-bm
Berita Pilihan:
Petikan Berita Selangor 26 Mac 2025
Tajuk: Persiapan SUKMA Selangor 2026 giat dilaksana, pastikan penganjuran terbaik, diingati
SHAH ALAM, 26 MAC: Selangor selaku tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 giat mempersiap pelbagai aspek penting bagi memastikan kelancaran penganjuran temasya dwitahunan itu.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata SUKMA 2026 bukan saja memberi peluang kepada atlet Selangor mempamerkan bakat tetapi juga memberi impak besar kepada ekonomi dan kehidupan rakyat.
“Daripada aspek persediaan kejohanan sejak awal kita sudah mulakan dan harap ia akan mencapai penganjuran yang baik, diingati dan berkualiti.
“Ini peluang untuk rakyat Selangor melihat temasya sukan terbesar di Malaysia dianjurkan dan beri sokongan kuat kepada atlet kita. Kita akan bekerjsama termasuk dengan Kuala Lumpur untuk penggunaan kemudahan dan Nilai, Negeri Sembilan untuk velodrom.
“Lain-lain seperti kolam renang, padang bola kita mempunyai kemudahan tersebut, malah hampir setiap daerah di Selangor mempunyai stadiumnya sendiri walaupun bertaraf stadium mini,” katanya dalam program ‘Dialog TVS: Menuju Selangor 2030, Apa Strategi MB’ yang disiarkan malam tadi.
Menyentuh persediaan atlet, Amirudin berkata persatuan sukan giat mengatur program latihan bagi mengekalkan momentum atlet dan berharap Selangor muncul juara keseluruhan.
“Tetapi sukan bukanlah suatu benda yang pasti, ia bergantung kepada keadaan hari pertandingan. Kadang-kadang ada atlet yang sangat cemerlang, hari (perlawanan) dia demam, ada atlet yang tiba-tiba menonjol dan menang dapat emas.
“Benda yang kita lakukan berterusan cuma kita hanya perlu perkemaskan dalam beberapa aspek supaya mereka kekal dan tidak terganggu dalam mencatatkan keputusan yang cemerlang,” katanya.
Beliau berkata penganjuran sukan bukan melibatkan sukan semata-semata, tetapi keseluruhan ekosistem termasuk ekonomi, kehidupan rakyat, kebudayaan dan pelancongan yang mendapat kesan secara tidak langsung.
Sebelum ini, EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata jawatankuasa pengelola SUKMA dan Para SUKMA memutuskan temasya sukan itu dianjurkan pasda Ogos 2026.
Kali terakhir Selangor menjadi tuan rumah SUKMA ialah pada 1998 dan muncul juara keseluruhan.
Sumber: Selangorkini
https://selangorkini.my/2025/03/persiapan-sukma-selangor-2026-giat-dilaksana-pastikan-penganjuran-terbaik-diingati/
Gambar Arkib Selangorkini
Kemaskini pada 2025-04-21 16:00:26 daripada Administrator