'Kompaun saja untuk cegah wabak denggi' Memaparkan Pengumuman di Tab Baru

image

KLANG: Tindakan tegas wajar diambil terhadap penduduk yang enggan memberi kerjasama dalam aspek kebersihan sehingga mengundang wabak denggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri, berkata daerah ini terutama Pelabuhan Klang mencatat kes demam denggi tinggi berikutan penduduk yang ramai dan aspek kebersihan sukar dikawal.

“Setiap minggu, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) bermesyuarat mencari jalan mengawal denggi di daerah ini dan ia dilihat tidak berkesan kerana kes demam denggi terus meningkat.

“Saya sarankan MPK dan PKD mengambil tindakan tegas dengan terus memberi kompaun dan bukan lagi notis kepada penduduk yang ingkar dengan saranan diberikan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Bulanan MPK, di sini, hari ini.

Beliau menyatakan kesediaan bekerjasama dengan penduduk atau mana-mana pihak dalam mengadakan gotong-royong setempat.

Sementara itu, Setiausaha MPK, Adi Faizal Ahmad Tarmizi, berkata 14 kompaun sudah dikeluarkan kepada penduduk yang didapati membiak nyamuk Aedes dalam kawasan kediaman.

“Sebelum ini, kita cuma memberi notis tetapi tidak diambil serius oleh penduduk.

“Kompaun ini membuatkan mereka lebih berwaspada dan menjaga kebersihan kawasan kediaman masing-masing.

“Nilai kompaun adalah RM1,000 untuk seekor jentik-jentik dan kita yakin mereka pasti tidak mahu membayar denda yang tinggi semata-mata untuk jentik-jentik,” katanya.

Bagi tempoh Januari hingga 23 Februari lalu, beliau berkata, sejumlah 3,199 kes direkodkan iaitu 1,965 kes pada Januari dan 1,234 kes daripada 1 Februari sehingga 23 Februari lalu, dengan tiga kematian direkodkan

Katanya, antara kawasan yang kerap menjadi tempat pembiakan Aedes adalah rumah kosong, rumah yang menyimpan banyak barang dan lorong belakang rumah.

 

sumber : Berita Harian

Diterbitkan pada 28 February, 2019 Diterbitkan Oleh Siti Zurina Jusoh