Sarang Ekonomi Desa bakal dilancar September Memaparkan Pengumuman di Tab Baru

image

KAPAR, 13 JULAI: Program Sarang Ekonomi Desa untuk mempromosi aktiviti perusahaan masyarakat luar bandar di Selangor, bakal dilancarkan pada September ini.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, program itu membolehkan penduduk terbabit secara khusus dalam meningkatkan pendapatan melalui aktiviti ekonomi yang diusahakan.


 
“Proses untuk merealisasikan program itu setakat ini berjalan lancar dan kita jangkakan pada September nanti ia akan mula diperkenalkan.

“Program ini juga sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Negeri untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat selain memberi peluang kepada penduduk luar bandar memanfaatkan kelebihan di kampung masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Sayangi Desa peringkat Klang 2019 di Dewan Serbaguna Taman Sri Kerayong, Kampung Kapar, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi.

Pada masa sama, Rodziah yang juga ADN Batu Tiga berkata, program itu memberi peluang kepadanya bertemu dengan usahawan berpotensi untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

“Melalui program hari ini kita dapat lihat ramai usahawan di Kapar yang boleh mengembangkan lagi perniagaan mereka jika dibantu dalam Sarang Ekonomi Desa yang bakal dilancar nanti.

“Malah, kita komited untuk terus membantu golongan isi rumah berpendapatan rendah sama ada di bandar mahupun luar bandar,” katanya.

Program Sayangi Desa peringkat Klang itu adalah siri ketiga dianjurkan selepas siri pertama dan kedua diadakan di Hulu Langat dan Petaling, baru-baru ini.

Difahamkan, program bertemakan Warisan dan Tradisi itu bagi memupuk nilai tradisi desa yang harus dipelihara walaupun menerima limpahan pembangunan pesat.

Program itu berjaya menghimpunkan hampir 1,500 orang yang turut hadir bersama memeriahkan suasana.

 

sumber selangorkini
OLEH SHEEDA FATHIL

Diterbitkan pada 15 July, 2019 Diterbitkan Oleh Siti Zurina Jusoh