Sasar 4,500 keluarga terjejas banjir di Klang terima bantuan RM1,000 sehingga Ahad Memaparkan Pengumuman di Tab Baru

image

Seramai 4,500 keluarga terjejas banjir di Klang disasar menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) berjumlah RM1,000 sehingga Ahad ini.

Pegawai Daerah Klang Mohd Faizal Abd Raji berkata untuk tujuan itu pihaknya akan mempertingkatkan kapasiti penerima bantuan harian dengan melibatkan semua kawasan terjejas secara berfasa.

“Setakat semalam sebanyak 2,304 keluarga sudah menerima bantuan terbabit dengan kesan kewangan RM2.304 juta.

“Untuk hari ini pula, kita mengagihkan kepada 800 penduduk Kampung Lombong dan tambahan RM1,000 Bantuan Wang Ihsan daripada kerajaan persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis agihan BSB kepada mangsa banjir di Dewan MPKK Kampung Lombong di sini hari ini.
Pegawai Daerah Klang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana daerah Klang, Mohd Faizal Abd Raji.
Turut hadir, EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal merangkap Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember dan dijangka selesai hujung bulan ini.

 

SUMBER : SELANGOR KINI
 Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Diterbitkan pada 7 January, 2022 Diterbitkan Oleh Siti Zurina Jusoh