Jelajah bantuan rakyat diterus ke sembilan daerah, platform hebah insentif negeri Memaparkan Pengumuman di Tab Baru

image

Jelajah bantuan rakyat diterus ke sembilan daerah, platform hebah insentif negeri

 

KLANG, 18 FEB: Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) yang membuka tirai hari ini di Pangsapuri Seri Perantau di sini, diteruskan ke lapan daerah sehingga Mac nanti.

Dato’ Menteri Besar berkata program berskala lebih kecil berbanding Jelajah Selangor Penyayang (JSP) yang dianjur tahun lalu akan menghebahkan segala insentif ditawar kepada penduduk.

Maklum Dato’ Seri Amirudin Shari, program sehari dari 9 pagi hingga 5 petang menyediakan beberapa acara  antaranya saringan kesihatan percuma Selangor Saring dan jualan murah Jelajah Ehsan Rakyat.

“Sebelum ini kita anjur JSP juga di sembilan daerah bermula di Hulu Langat dan berakhir Hulu Selangor pada awal Disember lepas. Kali ini kita teruskan JKSP di daerah sama bermula Klang dan menumpukan lokasi yang belum pernah turun secara langsung.

“Kita bukan hanya dengar ucapan sahaja tetapi menyampaikan pelbagai maklumat terutama 44 program dalam Iltizam Selangor Penyayang. Penduduk juga dapat sertai program secara terus seperti Selangor Saring,” katanya ketika berucap di majlis berkenaan.

image
Petugas menunjukkan risalah Program Iltizam Selangor Penyayang (ISP) sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) di Pangsapuri Sri Perantau, Klang pada 18 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Beliau berkata program tersebut memberi gambaran komitmen Kerajaan Negeri untuk mendengar isu penduduk setempat selain memastikan tiada golongan ditinggalkan seiring slogan Selangor Penyayang.

“JKSP fasa dua pula akan diteruskan selepas Aidilfitri di semua daerah selain penganjuran bersekali dengan majlis rumah terbuka,” katanya.

Program yang dianjurkan bermula Jun tahun lalu menyediakan pelbagai acara antaranya saringan kesihatan percuma, jualan barangan asas murah, pameran dan acara sukan.

Jelajah yang disusun semula dari Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) sebelum ini dijayakan menerusi peruntukan RM350 juta bagi memberi manfaat kepada rakyat Selangor.

image

Petugas kesihatan mengambil sampel darah pengunjung program saringan kesihatan percuma sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) di Pangsapuri Sri Perantau, Klang pada 18 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

sumber :Selangorkini

Diterbitkan pada 18 February, 2023 Diterbitkan Oleh Siti Zurina Jusoh