KLANG, 18 FEB: Nasib 89 keluarga di Kampung Delek dan Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang akan dibela sekiranya projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di kawasan itu tidak dialih ke lokasi lain.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau menjangkakan pembinaan laluan di lokasi itu mungkin bermula 2025 maka pihaknya mempunyai masa untuk berbincang dengan pihak tertentu.
“Kalau laluan tidak dialih, kita akan bagi rumah sesuai supaya hidup penduduk itu tidak terganggu. Kerajaan Negeri sedaya upaya elakkan laluan ini tapi tak ada jalan lagi.

“Tapi tak apa, saya pegang janji saya. Kita akan kenal pasti penyelesaian terbaik. Sementara ada masa ini kita juga kenal pasti kawasan perumahan mana yang dibangunkan, yang mana kita boleh ganti tanah, rumah atau beli rumah dengan kos tertentu,” katanya.
Beliau berucap pada program Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) di Pangsapuri Seri Perantau di sini hari ini.

Amirudin berkata projek jaringan pengangkutan itu juga bakal memberi kesan kepada 86 lot tanah kubur tetapi penyelesaian terbaik akan diambil.
“Kita akan laksanakan walaupun saya pasti akan beri kesan mendalam kepada keluarga tapi ia perlu dibuat,” katanya.
Laluan ECRL di negeri ini melibatkan jajaran sepanjang 90.72 kilometer melalui daerah Gombak, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Klang.