Program Blueprint permudah bantuan alatan niaga, ubah nasib ribuan individu Memaparkan Pengumuman di Tab Baru

image

KLANG, 14 JUN : Seramai 3,256 peserta menerima bantuan alatan perniagaan menerusi program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan sejak 2016 hingga Jun tahun ini.

EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi V Ganabatirau berkata sebanyak RM13,598,420 disalurkan dalam tempoh tersebut bagi memastikan peserta program Blueprint mendapat bantuan sewajarnya.

“Ia merupakan satu peruntukan yang besar dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri. Bagi tahun 2023 sahaja, seramai 334 permohonan telah diluluskan di sembilan daerah.

“Kita sentiasa berusaha menambah baik program dari semasa ke semasa bagi memastikan program ini mencapai matlamatnya,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan dan Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (i-Seed) di Pejabat Daerah dan Tanah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ganabatirau berkata bantuan alatan perniagaan dipelbagaikan berbanding sebelum ini yang banyak menumpukan kepada mesin jahitan.

“Kerajaan Negeri setuju untuk mempelbagaikan peralatan demi membantu sosioekonomi rakyat sesuai dengan kepakaran masing-masing. Ini antara usaha yang kita laksanakan untuk ubah nasib golongan sasar,” katanya.

Kerajaan Negeri menawarkan pelbagai program dengan dana yang besar bagi membantu peniaga memulakan serta mengembangkan perniagaan termasuk menganjurkan kursus memeperkasa usahawan.

Bantuan berbentuk peralatan atau mesin juga diwujudkan khusus untuk membantu golongan dalam kalangan penjaja, peniaga atau yang bekerja sendiri di negeri ini.

Diterbitkan pada 14 June, 2023 Diterbitkan Oleh Siti Zurina Jusoh