Negeri optimis capai sasaran digitalkan semua perkhidmatan menjelang 2025 Memaparkan Pengumuman di Tab Baru

image

Negeri optimis capai sasaran digitalkan semua perkhidmatan menjelang 2025

Dato’ Menteri Besar Dato’ Amirudin Shari berkata sasaran itu boleh dicapai berdasarkan kejayaan mencapai 90 peratus penembusan pembayaran digital setakat Oktober lalu.

image
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 21 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Walaupun nanti transaksi di kaunter hadapan boleh dipindah ke dalam talian, tetapi saya percaya kaunter hadapan masih diperlukan atau dibuka kerana kita ingin memberi ruang transformasi peralihan itu berjalan dengan baik.

“Semasa pandemik baru kita terpikir membuat penghantaran secara SmartBox bermula di Pejabat Tanah Galian (PTG) dan alhamdulillah sebahagian Pejabat Tanah Daerah (PTD) mempunyai SmartBox. Jadi tidak ada lagi peristiwa orang perlu beratur panjang untuk penghantaran borang yang memerlukan perkhidmatan kaunter hadapan sebelum ini.

“Insya-Allah kita akan melihat perkembangan transformasi perkhidmatan digital menjelang 2025 terutama di PTG dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang ada urusan di kaunter hadapan dialih ke dalam talian,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran yang ingin mengetahui sasaran Kerajaan Negeri mencapai peralihan Kerajaan Digital menjelang 2025 dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

image
Kakitangan kerajaan Nur Hidayah Mohd Hanib melakukan demonstrasi pada perasmian sistem ‘Smartbox PTGS’ di Bangunan SSAAS, Shah Alam pada 24 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Amirudin berkata Kerajaan Negeri juga berusaha meluaskan penggunaan teknologi dalam perkhidmatan awam melalui Pelan Strategik Pendigitalan Pentadbiran SUK Selangor 2021-2025 untuk meningkatkan kecekapan operasi.

“Sebagai contoh pengurusan penting kerajaan terutama sektor tanah telah digitalkan melalui program e-tanah. Kalau ikut pengalaman Dato’ Menteri Besar terdahulu, setiap bulan perlu tandatangan antara 400 hingga 500 fail untuk memberi ‘consent’ atau kebenaran tertentu

“Melalui e-tanah ini, tugas Dato’ Menteri Besar hanya perlu klik untuk membenarkan meluluskan atau menolak permohonan tertentu, tidak perlu ambil masa yang lama di hujung minggu, waktu petang atau malam untuk turunkan tandatangan,” katanya.

Diterbitkan pada 22 November, 2023 Diterbitkan Oleh Siti Zurina Jusoh