MB: Rancangan lima tahun Klang kekal ciri Bandar Diraja, harmonikan pembangunan Memaparkan Pengumuman di Tab Baru

image

MB: Rancangan lima tahun Klang kekal ciri Bandar Diraja, harmonikan pembangunan

KLANG, 5 FEB: Rancangan lima tahun pembangunan Klang menekankan aspek pemeliharaan dan pemuliharaan warisan lama termasuk ciri Bandar Diraja bagi memastikan ia kekal diwarisi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata rancangan terbabit melibatkan bandar Klang dan Pelabuhan Klang serta pusat pertumbuhan Meru dan Kapar selain beberapa bandar yang bakal dibangunkan.

“Pembangunan baru perlu diharmonikan bersama. Ciri-ciri Bandar Diraja perlu diberi keutamaan dalam reka bentuk dan merancang pembangunan bandar,” katanya ketika sembah ucapan kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor sempena perisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) hari ini.

Amirudin berkata sebagai bandar matang yang terhad penggunaan tanah di samping berdepan peningkatan jumlah penduduk, Klang harus menyediakan perumahan berkualiti dan mampu milik.

“Bina atau naik taraf jalan dan infrastruktur utama, selenggara dengan lebih elok. Sisa pepejal di kawasan perumahan atau komersial perlu diurus dengan memudahcara atau penguatkuasaan.

“Kita bukan hanya mahu wujudkan peluang ekonomi tetapi keadaan dan persekitaran disusun rapi supaya kemampanan pengurusan dapat dipelihara,” katanya.

image
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sembah ucapan pada Majlis Perisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada 5 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Amirudin menjelaskan Klang sedang bergerak pantas menangani cabaran perubahan iklim dan yakin MBDK mampu menjadi antara bandar pertama mencapai status rendah karbon susulan pembinaan loji jana kuasa di Pulau Indah.

“Loji dibina anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Worldwide Holdings berkapasiti 1,200 MW dengan tahap kecekapan lebih 6O peratus berbanding kaedah konvensional bakal siap.

 

sumber : Selangor kini

Diterbitkan pada 13 February, 2024 Diterbitkan Oleh Siti Zurina Jusoh