Pantas MBDK siap siaga 24 jam pantau kawasan risiko banjir, bencana Memaparkan Pengumuman di Tab Baru

image

Pantas MBDK siap siaga 24 jam pantau kawasan risiko banjir, bencana

 

KLANG, 7 MEI: Pasukan Tindakan Segera (Pantas) Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bersiap siaga 24 jam bagi memantau kawasan berisiko banjir.

Datuk Bandarnya Datin Paduka Noraini Roslan berkata pihaknya juga sebelum ini sudah membuat kerja pembersihan saliran bagi mengurangkan risiko bah.

“Kita ada pasukan Pantas yang bertindak dalam jangka masa singkat sekiranya berlaku apa jua bencana dan mereka juga menjadi pasukan terawal menyampaikan laporan.

image
Datuk Bandar Klang Datin Paduka Noraini Roslan berucap pada majlis mesra Aidilfitri bersama Majlis Bandaraya Diraja Klang 2024 di Dewan MBDK Bandar Bukit Raja Klang pada 6 Mei 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“MBDK juga telah membersihkan saliran di sekitar kawasan berisiko banjir kilat sebelum ini. Kita harap penduduk dapat beri kerjasama menjaga persekitaran masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Mesra Aidilfitri bersama MBDK di Dewan MBDK Bukit Raja di sini semalam.

Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS) semalam meminta orang ramai berwaspada dengan fenomena air pasang besar yang diramal berlaku di Pelabuhan Klang sehingga Jumaat ini.

JPS menerusi infografik dikongsinya di Facebook memaklumkan bacaan paras air laut setinggi 5.3 meter semalam dan Khamis antara jam 4 petang hingga 7 malam.

Paras air laut di kawasan itu dijangka meningkat setinggi 5.4 meter hari ini dan Rabu sementara pada 10 Mei (Jumaat) pula, bacaan paras air laut diramal 5.1 meter pada jam 7.29 malam.

image
Persembahan tarian pelajar Sekolah Kebangsaan Methodist Klang pada majlis mesra Aidilfitri bersama Majlis Bandaraya Diraja Klang 2024 di Dewan MBDK Bandar Bukit Raja Klang pada 6 Mei 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
Diterbitkan pada 8 May, 2024 Diterbitkan Oleh 1