KLANG, 20 SEPT: Sistem e-tanah yang dilaksana sejak Oktober tahun lalu berjaya memendekkan tempoh menunggu di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang sehingga 92 peratus atau kurang 30 minit.
Pegawai Daerah Klang Amri Ismail menjelaskan PDT itu juga satu-satunya PDT di Selangor yang berjaya mengurangkan jumlah kaunter perkhidmatan daripada 24 kepada hanya 15 ketika ini.
“Pengurangan kaunter itu bukan bermaksud kita mengurangkan perkhidmatan tetapi ia merupakan hasil pelaksanaan sistem e-tanah yang turut membantu kita mengoptimum tenaga kerja.
“Sebelum ini juga ada pengunjung yang terpaksa menunggu lama sehingga sehari suntuk. Tetapi urusan sistem e-tanah kini hanya mengambil masa tidak sampai 30 minit sahaja,” katanya kepada pemberita.
Beliau ditemui selepas menghadiri Sesi Taklimat Setahun Pelaksanaan Sistem e-Tanah di PDT Klang di sini, hari ini, yang disertai kira-kira 100 pemimpin masyarakat.
Dalam pada itu, Amri berkata sesi taklimat itu dianjur bagi memberi pendedahan kepada lebih ramai penduduk, selain mengenal pasti keperluan penambahbaikan sistem e-tanah.
Jelasnya, PDT Klang juga terbuka mendengar pendapat awam bagi memastikan sistem berkenaan lebih mesra pengguna khususnya kepada warga emas.
“Kita mahu sistem ini tidak hanya dinikmati masyarakat bandar sahaja tetapi penduduk luar bandar yang rata-ratanya golongan warga emas, mereka ini perlu disantuni,” katanya.
Sementara itu, peserta Azhar Mohd Yunos, 54, berkata sistem e-tanah memudahkan penyelesaian urusan tanah dengan pantas pada bila-bila masa, tanpa perlu beratur dan menunggu di PDT.
“Sebelum ini perlu ke kaunter PDT dan perlu ikut waktu bekerja tetapi sekarang boleh buat bila-bila masa yang kita mahu. Kekangannya hanya capaian internet,” katanya yang bekerja di firma guaman.
Sistem e-Tanah yang diperkenal di negara ini pada 2021 menekankan pengurusan dan pentadbiran tanah bersepadu di Semenanjung. Selangor melaksanakan sistem itu bermula 30 Oktober tahun lalu.