Fenomena air pasang: Jawatankuasa bencana buat kawalan menyeluruh Memaparkan Pengumuman di Tab Baru

image

Fenomena air pasang: Jawatankuasa bencana buat kawalan menyeluruh

KLANG, 20 SEPT: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang membuat kawalan menyeluruh khususnya di 15 lokasi tumpuan susulan fenomena air pasang besar sejak Selasa lalu.

Pengerusinya Amri Ismail berkata pemantauan dibuat menerusi kamera litar tertutup (CCTV), yang disambung terus ke bilik operasi bencana di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang.

Menurutnya, tiada sebarang laporan banjir di daerah berkenaan setakat ini, kecuali kejadian limpahan air berdekatan ban Kampung Tok Muda, Kapar.

“Keadaan dalam keadaan terkawal, cuma hanya berlaku limpahan air di ban Kampung Tok Muda. Pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ambil maklum perkara tersebut,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas menghadiri Sesi Taklimat Setahun Pelaksanaan Sistem e-Tanah di PDT Klang di sini, hari ini, yang disertai kira-kira 100 pemimpin masyarakat.

Pada Selasa, Pusat Operasi Bencana Daerah Klang (DDOC) mengeluarkan jadual air pasang surut dan taburan hujan susulan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku bermula Selasa hingga esok.

Bacaan paras air paling tinggi dilapor setinggi 5.8 meter jam 7.23 pagi tadi dan 5.2 meter pada jam 7.36 petang dengan cuaca diramalkan baik sepanjang hari ini.

Bacaan paras air laut esok dijangka setinggi 5.6 meter jam 7.56 pagi, manakala air laut dijangka setinggi 5 meter jam 8.11 malam, dan ramalan cuaca adalah baik.

Pusat Operasi Bencana Klang boleh dihubungi menerusi talian 03-3371 6700 atau menerusi aplikasi WhatsApp 010-973 1963.

Diterbitkan pada 21 September, 2024 Diterbitkan Oleh 1