Wartawan Sinar Harian II 12 OGOS 2025
KUALA SELANGOR – Model pembangunan industri tenusu di Rotorua, New Zealand yang berjaya menembusi pasaran 130 negara wajar dijadikan panduan kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bagi meningkatkan hasil pengeluaran tempatan. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan negara itu menggabungkan teknologi moden, pengurusan efisien dan kerjasama komuniti telah membawa kejayaan besar. “Rotorua ada 8,000 hektar tanah untuk industri tenusu. Walaupun Selangor tidak mempunyai keluasan sebesar itu, teknologi moden boleh membantu meningkatkan produktiviti,” katanya. Beliau berkata demikian semasa Majlis Pecah Tanah Kompleks Lembu Tenusu PKPS ‘Ehsan Dairy Farm’ di Ladang Sungai Tengi di sini pada Ahad. Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Dr Mohamad Khairil Mohd Razi. Ahmad Zahid menegaskan, projek tenusu PKPS harus menjadi pemangkin untuk membawa hasil tempatan ke pasaran eksport, bukan sekadar memenuhi permintaan domestik. “Saya tidak mahu projek hanya gah ketika pecah tanah tetapi gagal selepas beberapa tahun. Kalau Rotorua boleh, kita juga mampu lakukan,” jelas beliau. Ahmad Zahid dalam pada itu memuji langkah PKPS yang disifatkan sebagai game changer dalam usaha mengurangkan kebergantungan negara terhadap import makanan. Beliau berkata, kebergantungan Malaysia terhadap bahan makanan khusus kini mencecah 94.7 peratus dengan nilai import RM4.63 juta setahun, satu jumlah yang dilihat tinggi bagi jaminan keselamatan makanan negara.
“Langkah PKPS bekerjasama dengan perbadanan kemajuan pertanian negeri lain untuk meningkatkan pengeluaran makanan domestik wajar dipuji, bukan sahaja oleh rakyat Selangor tetapi seluruh Malaysia,” ujar beliau. Perkasa TVET dalam pertanian Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menekankan kepentingan penggunaan teknologi moden dan kemahiran menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi menarik minat golongan muda menyertai sektor pertanian. “Saya sendiri akan mempertimbangkan peruntukan khas kepada PKPS untuk melatih belia dalam bidang pertanian menggunakan institusi TVET sedia ada,” katanya. Bercakap semasa sidang akhbar pula, Ahmad Zahid berkata, pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 kini menikmati gaji minimum RM3,000 sebulan, manakala pemegang SKM Tahap 5 boleh memperoleh sehingga RM5,000. Menurutnya, penetapan gaji premium itu adalah hasil saranan Majlis TVET Negara bagi mengiktiraf kemahiran tinggi sekali gus menarik minat golongan muda menceburi bidang teknikal termasuk pertanian moden. “Jangan lagi terikat pada gaji minimum RM1,700 kerana dengan kemahiran diiktiraf melalui SKM Tahap 3 dan Tahap 5, graduan TVET berpeluang meraih pendapatan setanding dengan kepakaran mereka,” tambah beliau. Menurut Ahmad Zahid, latihan TVET dalam sektor pertanian perlu memberi lebih pendedahan praktikal iaitu 70 peratus di lapangan dan hanya 30 peratus di bilik kuliah. Buka peluang pekerjaan Sementara itu, Mohamad Khairil berkata, projek ternakan tenusu itu dijangka menghasilkan dua juta liter susu setahun apabila beroperasi sepenuhnya pada Februari tahun depan. Katanya, kompleks ternakan seluas 16.8 hektar itu dilengkapi tiga kandang, stor simpanan jentera dan teknologi moden dari Ireland melalui kerjasama dengan Dairy Master. “Kami menggunakan sistem ‘rapid exit’ yang mampu memerah susu 60 ekor lembu serentak selain teknologi IoT (Internet of Things) dengan kolar pintar bagi memantau kesihatan serta tahap stres lembu,” katanya. Setakat ini katanya, sebanyak 120 ekor baka Jersey Holstein Friesian (F2) dari Australia sudah dibawa masuk kerana tahan cuaca panas dan berproduktiviti tinggi, manakala 350 ekor lagi akan tiba September depan. “Projek ini turut membuka sekurang-kurangnya 100 peluang pekerjaan termasuk pemandu jentera, doktor veterinar, pakar pengurusan ternakan dan pekerja ladang,” jelas beliau. Menurut Mohamad Khairil, pekerja di ladang itu juga akan menerima gaji premium minimum RM2,500 hasil model yang berjaya dilaksanakan PKPS bersama kementerian berkaitan sebelum ini. “Kami juga akan melatih belia melalui program TVET di ladang ini dan merancang mewujudkan ladang satelit bersama masyarakat tempatan. “Matlamat utama PKPS ialah memastikan bekalan susu tempatan mencukupi sebelum meneroka pasaran eksport,” tambah beliau. |