Wartawan Sinar Harian II 12 OGOS 2025
KUALA SELANGOR – Tiga lelaki ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes samun berkawan menggunakan senjata api tiruan di sebuah kedai hasil laut di Pasir Penambang di sini pada 5 Ogos lalu. Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajuddin berkata, dua suspek direman enam hari bermula Jumaat lalu hingga Rabu, manakala seorang lagi suspek direman tujuh hari bermula Ahad hingga 17 Ogos depan. Beliau berkata, dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, dua suspek memakai pelitup muka hitam masuk ke dalam premis berkenaan. Menurutnya, seorang suspek menahan seorang pekerja wanita warga Indonesia di pintu masuk manakala rakannya mengacukan pistol ke arah pemilik kedai sebelum mengarahkannya membuka laci kaunter bayaran. “Suspek melarikan wang tunai kira-kira RM700 sebelum kedua-duanya meninggalkan lokasi. “Berdasarkan laporan polis yang dibuat, siasatan berjaya mengenal pasti tiga lelaki tempatan disyaki terbabit dalam kes berkenaan,” jelasnya. Azaharudin menjelaskan, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor dengan bantuan Bahagian D9 Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor menahan semua suspek untuk siasatan. Siasatan lanjut mendapati ketiga-tiga suspek turut terbabit dalam kes samun berkawan menggunakan senjata api tiruan di sebuah kedai runcit di Tanjong Karang yang tular di media sosial baru-baru ini. “Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya. |