Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

30 Januari 2014 : Sinar Harian : Kesal anak tak dapat bantuan

SABAK BERNAM – Seorang saudara baharu kecewa apabila permohonannya untuk melanjutkan tempoh bantuan kecemasan bagi tiga anaknya yang masih bersekolah ditolak Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Osman Loke Abdullah, 51, berkata, permohonan yang dibuat pada 27 November lalu tidak diluluskan Mais meskipun dia difahamkan kesemua anaknya itu layak menerima bantuan sehingga usia mereka 18 tahun.

Malah katanya, surat jawapan daripada Mais berhubung status permohonannya bertarikh 4 Disember lalu juga dianggap meragukan kerana hanya mempunyai tandatangan, manakala nama dan jawatan pegawai yang menyemak status permohonannya itu tidak dinyatakan.

“Saya keliru apabila permohonan saya ditolak Mais, sedangkan saya difahamkan anak saya layak untuk terima bantuan (kecemasan) selagi mereka masih bersekolah,” katanya.

Osman yang bekerja sebagai mekanik dengan pendapatan bulanan sebanyak RM700 sebulan berkata, dia memang memerlukan bantuan itu bagi menampung perbelanjaan persekolahan anak-anaknya.

“Saya inginkan penjelasan Mais berhubung perkara ini dan beri sebab mengapa anak saya tak layak terima bantuan, sedangkan saya bukanlah orang senang dan masih perlukan bantuan,” katanya.

Justeru menurutnya, dia merayu kepada Mais agar mempertimbangkan semula rayuannya untuk memperoleh bantuan kecemasan itu bagi menampung keperluan persekolahan anak-anaknya memandangkan dia tidak berkemampuan.

“Saya ingin tuntut hak sebagai mualaf (saudara baharu) kerana sebelum ini mereka berjanji akan ambil berat soal keperluan dan kebajikan saya,” katanya.

Osman berkata, dia tidak lagi menerima bantuan bulanan saudara baharu daripada Mais apabila sudah melepasi tempoh maksimum lima tahun memeluk Islam.

“Dalam keadaan tekanan kos sara hidup yang semakin tinggi, saya berbesar hati jika Mais melanjutkan pemberian bantuan ini bagi memastikan kami dapat meneruskan kehidupan yang lebih baik pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Pembantu Eksekutif Pengurusan Mualaf Mais Daerah Sabak Bernam, Mohd Ali Muhamad berkata, pemohon terbabit tidak layak menerima bantuan kecemasan berikutan tiga daripada anaknya menerima bantuan pendidikan sebanyak RM200 setiap seorang.

Malah katanya, pihaknya juga sedang berusaha untuk menguruskan permohonan bantuan bulanan sebanyak RM500 seorang, tetapi masih menunggu kelulusan daripada Ibu Pejabat Mais di Klang.

“Bagaimanapun, Mais menetapkan bayaran bulanan hanya diberikan kepada mualaf bagi tempoh lima tahun sahaja dan selepas itu bantuan itu tidak akan disambung semula selepas tempoh terbabit,” katanya.

Selain bantuan itu menurutnya, bagi mualaf yang mengikuti kelas bimbingan fardu ain, setiap daripada mereka juga layak menerima saguhati RM20 yang akan dimasukkan ke dalam akaun bank mualaf terbabit.

Kemaskini pada 2014-02-03 14:32:34 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page