• Sebahagian anggota Jabatan Perikanan memusnahkan pancang haram sekitar pantai Kampung Banting, kelmarin.Sebahagian anggota Jabatan Perikanan memusnahkan pancang haram sekitar pantai Kampung Banting, kelmarin.
< 1 / 1 >

SABAK BERNAM – Jabatan Perikanan memusnahkan 150 pancang haram di kawasan pembiakan benih kerang di sekitar pantai Kampung Banting, di sini, petang kelmarin.

Operasi yang diperkuatkan 20 anggota dari Ibu Pejabat Jabatan Perikanan Putrajaya dan Jabatan Perikanan Selangor itu bermula kira-kira jam 12 tengahari berakhir jam 3 petang itu memberi tumpuan di sepanjang kira-kira 700 meter di sepanjang pantai berkenaan.

Ketua Cawangan Perlesenan Abd Razak Buang berkata, tindakan itu dilakukan selepas menerima rungutan daripada nelayan pantai berhubung terdapat sindiket monopoli benih kerang di kawasan itu dan sebahagian besar pantai di negeri ini.

Menurutnya, meskipun pihaknya belum dapat mengesahkan sindiket monopoli kerang di kawasan itu, namun ia sebagai langkah bagi memutihkan kawasan terbabit dan beberapa lagi kawasan lain dalam waktu terdekat.

“Kita akan meneruskan operasi ini dari masa ke semasa dan berharap agar mana-mana pihak mematuhi larangan mengutip benih kerang selagi permit tidak dikeluarkan Jabatan Perikanan,” katanya.

Abd Razak berkata, Jabatan Perikanan tidak akan mengeluarkan permit benih kerang kepada mana-mana pemohon selagi kerang tidak mencapai saiz yang dibenarkan iaitu empat milimeter untuk diwartakan.

“Bagaimanapun hasil persempelan saiz dijalankan sebelum ini, kita dah kenal pasti kerang itu telah menghampiri saiz yang dibenarkan dan permit memungut kerang akan dibuka dalam waktu terdekat dengan keutamaan diberi kepada nelayan setempat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan individu yang masih menjalankan aktiviti pengutipan benih kerang supaya menghentikan segera aktiviti  selagi tidak mendapat permit daripada agensi kerajaan terbabit.

“Mengikut Peraturan 4 Akta Perikanan  (Pemuliharaan dan Kultur Kerang 1990) mereka yang disabitkan kesalahan boleh dijatuhi hukuman tidak lebih RM10, 000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sinar Harian 31 Disember lalu melaporkan, kira-kira 2,000 nelayan pesisir pantai daerah ini meluahkan rasa kesal dengan pihak tidak bertanggungjawab yang menjalankan sindiket mengambil benih kerang dan kerang di kawasan kampung secara monopoli.

Keadaan itu menyebabkan sebahagian nelayan yang bergantung kepada sumber hasil laut tepi pantai tertekan berikutan pendapatan mereka semakin merosot.

Nelayan mendakwa, pihak terbabit menanda kawasan mereka dengan pancang kayu bagi menunjukkan kawasan itu kepunyaan mereka dan melarang nelayan tempatan untuk mengambil hasil laut.