• Anggota penguatkuasaan KPDNKK Kuala Selangor memeriksa sebuah premis yang didapati melakukan kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993.Anggota penguatkuasaan KPDNKK Kuala Selangor memeriksa sebuah premis yang didapati melakukan kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993.
< 1 / 1 >

SABAK BERNAM – Gara-gara tidak meletakkan tanda harga, tiga peniaga restoran di daerah ini masing-masing dikenakan kompaun RM300 dalam Ops Catut yang dijalankan Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Selangor, semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, K Ramesh berkata, ketiga-tiga peniaga berusia lingkungan 40 hingga 50-an itu didapati dengan sengaja tidak mempamerkan tanda harga pada setiap makanan dan minuman yang dijual kepada pengguna.

Menurutnya, pihaknya bimbang sekiranya peniaga tidak mempamerkan tanda harga, dikhuatiri mereka boleh mengambil kesempatan menaikkan harga makanan dan minuman sesuka hati untuk mengaut keuntungan tinggi yang tidak munasabah. 
 
“Ketiga-tiga premis ini melakukan satu kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993 yang mewajibkan setiap premis meletakkan atau mempamerkan tanda harga pada makanan dan minuman untuk orang awam,” katanya kepada Sinar Harian.

Ramesh berkata, penandaan harga itu amat penting bagi membolehkan setiap pengguna menggunakan ‘kuasa beli’ mereka dalam membuat pilihan dan membezakan harga sesuatu makanan dan minuman di antara satu premis dengan premis yang lain.

“Kita menjalankan pemeriksaan kira-kira dari jam 10 pagi hingga 3 petang di 22 premis kedai makan di seluruh daerah ini, bagaimanapun kita berjaya mengesan tiga daripadanya yang tidak meletakkan tanda harga pada makanan dan minuman yang dijual,” katanya.

Beliau berkata, ops itu dijalankan berikutan terdapat aduan orang awam yang tidak berpuas hati terhadap pengusaha restoran dan kedai makan di sekitar daerah itu yang menjual makanan dan minuman pada harga tidak munasabah.

“Tindakan penguatkuasaan ini diambil bagi memastikan peniaga kedai makan tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan  untuk membuat keuntungan tinggi.

“Pihak kami juga mengesan ada di antara peniaga memberi alasan tidak munasabah seperti terpaksa menaikkan harga barangan bagi mendapatkan keuntungan tinggi sebelum penguatkuasaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April depan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan dari semasa ke semasa dan akan memberikan amaran tegas tindakan penguatkuasaan sama akan diambil kepada mana-mana premis lain yang didapati melakukan kesalahan terbabit.

Sehubungan itu, katanya, pengguna diminta memboikot restoran dan kedai makan yang menawarkan harga makanan lebih mahal, sebaliknya membeli di premis yang jauh lebih murah.

“Sebagai pengguna kita berhak untuk membuat pilihan yang tepat. Jika ada peniaga menaikkan atau menawarkan harga lebih tinggi, kita boleh memilih kedai makan lebih murah,” katanya.