Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

10 Okt 2015 : Nasib kakitangan PNHB terbela

Nasib kakitangan PNHB terbela
Rozali (kiri) menunjukkan kreativitinya mengukir pada ais batu sambil diperhatikan, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik, Datuk Mohlis Jaafar (kanan) dan Pengarah PSIS, Norehan Md Shariff selepas Majlis Konvokesyen Ke-10 PSIS, semalam.


SABAK BERNAM – Puncak Niaga Holdings Bhd (PNHB) memberi jaminan semua kakitangannya tidak akan diberhentikan kerja meskipun Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dijangka akan memuktamadkan proses pengambilalihan air pada 15 Oktober ini.

Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Dr Rozali Ismail berkata, semua kakitangan PNHB berkaitan industri air akan dipindahkan kepada kerajaan negeri, manakala pekerja yang tiada kaitan akan terus dikekalkan dalam PNHB.

“Jangan bimbang, semua (kakitangan PNHB) tak akan dibuang kecuali jika mereka ada melakukan kesalahan.

“Semua kakitangan PNHB akan terus berkhidmat. Jika dengan kerajaan negeri mereka akan ikut dan kalau bukan berkaitan air mereka akan terus bekerja dengan PNHB seperti biasa,” katanya ketika ditemui pada  Majlis Konvokesyen Ke-10 Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), semalam.

Malah Rozali berkata, kerajaan negeri turut memberi jaminan bahawa kakitangan PNHB yang dipindahkan ke Air Selangor akan terus dikekalkan menerusi perjanjian yang telah di materai antara kedua pihak sebelum ini.

Selain itu, beliau menjelaskan, pengambilalihan air tidak menjejaskan PNHB kerana terdapat banyak perniagaan lain yang turut diceburi syarikat itu seperti minyak dan gas, pembinaan, projek lain di luar negara serta meneruskan kepakarannya dalam sektor perkhidmatan air.

Ditanya tentang kemungkinan aset PNHB oleh Air Selangor akan selesai seperti dijadualkan pada 15 Oktober ini, Rozali memberitahu, Selangor dan Kerajaan Persekutuan telah memutuskan semua perkara mustahak dari segi aset dan perkara yang menjadi isu sebelum ini.

“Kami telah diberitahu pihak kerajaan negeri telah bersedia untuk proses pengambilalihan ini dan kemungkinan besar minggu depan kita akan membuat keputusan akhir untuk memuktamadkannya.

“Terdapat dua atau tiga perkara yang masih disemak, kita harap minggu depan tak ada masalah penangguhan seperti sebelum ini.

“Saya rasa minggu depan kemungkinan besar dapat diselesaikan mengikut tarikh yang dipersetujui,” katanya.

Pada 14 September lalu, Lembaga Pengarah PNHB bersetuju melanjutkan tempoh pengambilalihan buat kali kelapan, selama sebulan bermula 14 September hingga 15 Oktober bagi membolehkan Air Selangor memenuhi syarat terdahulu di bawah perjanjian jual beli bersyarat bertarikh 11 November 2014.

Kemaskini pada 2015-10-26 12:52:44 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page