SABAK BERNAM – Pelajar tingkatan tiga yang tertusuk besi pemunggah sawit pada badannya dalam kejadian Selasa lalu tetap menduduki Ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang bermula hari ini di Wad 1 Bilik 4 Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.

Mangsa, Nadzif Azamuddin Mohd Yusuf, 15, yang pada mulanya mendapatkan rawatan kecemasan di hospital itu dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum dipindahkan semula ke HTAJ Sabak Bernam, kira-kira jam 5 petang, Khamis lalu.

Nadzif yang menetap di Kampung Tebuk Jawa berkata, meskipun terpaksa menduduki peperiksaan di hospital, namun ia tidak sesekali mematahkan semangat dan kesungguhannya untuk menduduki PT3 dan berharap dapat menjawab peperiksaan itu dengan mudah.

“Esok (hari ini) saya akan mula periksa kertas bagi subjek matematik pada jam 8 pagi. Disusuli kertas bahasa Melayu dan berharap atas berkat doa dan sokongan tak putus-putus dari keluarga, guru dan rakan-rakan saya dapat lulus dengan baik,” katanya.

Nadzif memberitahu, dia akan menduduki semua kertas peperiksaan PT3 yang berlangsung selama tiga hari itu di HTAJ berikutan dijangka perlu menjalani rawatan susulan di hospital itu sekurang-kurangnya dua minggu lagi.

“Bagi saya, menjawab peperiksaan di mana saja pun sama saja, apa yang penting adalah persediaan mental dan fizikal. Saya boleh hadapi peperiksaan di sini dan akan berusaha untuk menjawab dengan penuh semangat,” katanya.

Nadzif yang juga pelajar di Sekolah Agama Menengah (SAM) Parit Baru mengakui, kejadian ngeri yang menimpanya kurang seminggu sebelum PT3 itu, menjejaskan sedikit persiapannya untuk mengulang kaji pelajaran.

“Sebelum kejadian ini berlaku, ada juga saya belajar bersama-sama dengan rakan, tapi selepas dimasukkan ke hospital saya masih belum sempat ulang kaji pelajaran.

“Petang ni (semalam) kawan-kawan nak datang ke hospital bawa buku untuk belajar bersama-sama,” katanya.

Sinar Harian Khamis lalu melaporkan, hasrat murni seorang pelajar tingkatan tiga yang ingin membantu rakannya mengait kelapa sawit, bertukar detik mengerikan apabila besi pemunggah sawit yang digunakannya tertusuk pada belakang  kiri badan menembusi bahu kanan depan badannya.

Bapa mangsa, Mohd Yusuf Mohd Daduri, 49, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi Selasa lalu sewaktu anaknya, Nadzif, keluar dari rumah untuk membantu seorang rakannya mengait kelapa sawit di Jalan Permatang, Kampung Tebuk Jawa, Sabak Bernam.