Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

12 Okt 2015 : Bekas pelajar 'nakal' terima anugerah

Bekas pelajar 'nakal' terima anugerah
Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Bhd (PNHB), Tan Sri Dr Rozali Ismail (tiga, kiri) menyampaikan penghargaan kepada Muhammad Firdaus (tiga, kanan) yang turut diiringi ibu bapanya pada Majlis Konvokesyen PSIS Ke-10.


SABAK BERNAM – Seorang pelajar nakal semasa di sekolah menengah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tan Sri Rozali Ismail pada Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) Ke-10, di sini, semalam.

Muhammad Firdaus Mukhtar, 23, yang merupakan bekas penuntut Diploma Pengurusan Hotel dan Katering PSIS menerima penghargaan tertinggi politeknik itu selepas memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.75.

Muhammad Firdaus berkata, kejayaan yang diraih itu tidak semudah yang disangka, apatah lagi pernah dibuang sekolah akibat masalah disiplin.

“Dulunya saya seorang pelajar bermasalah. Ponteng sekolah, kena buang asrama dan tukar sekolah macam dah lali waktu tu,” katanya kepada Sinar Harian.

Akibat masalah disiplin, Muhammad Firdaus mengakui, keputusan pencapaiannya dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sederhana bagaimanapun berjaya menyambung pengajian peringkat diploma dalam bidang sains sukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak.

“Tak lama saya di sana (UiTM Sarawak). Saya kemudiannya masuk pula UiTM Perlis, perkara sama berlaku apabila saya tak boleh bawa pengajian akibat sikap dan disiplin.

“Saya pindah pula ke Kolej Pertanian Malaysia ambil Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang akuakultur dan kemudiannya baru dapat tawaran sambung pengajian di PSIS,” katanya.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, kemasukannya ke PSIS itu dianggap sebagai peluang kedua untuknya berubah sikap, apatah lagi bidang yang dipilih itu diminatinya hingga melayakkannya menerima Anugerah Dekan sebanyak lima kali.

“Di sini, saya mula berubah. Semua sikap negatif sebelum ini ditukar kepada positif dan perkara penting saya mula menjaga solat lima waktu,” katanya.

Muhammad Firdaus yang kini menyambung pengajian peringkat Ijazah dalam bidang Pengurusan Pelancongan, Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok berkata, dia bercita-cita untuk menjadi pegawai penyelidik dalam sains sosial.

“Saya nak berjaya dalam bidang pelancongan dan menjadi penyumbang kepada negara suatu hari nanti,” katanya.

Kemaskini pada 2015-10-26 12:59:12 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page