SABAK BERNAM – Seorang wanita antara 44 yang ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, wanita berusia 30-an itu dicekup semasa serbuan Ops Tapis yang diketuai, Asisten Superintendan, Ramly Raaf bersama seorang pegawai dan 21 anggota serta 23 anggota dari AADK.

Menurut beliau, wanita yang masih dalam status Orang Kena Pengawasan (OKP) itu diberkas dalam serbuan polis dan AADK di lokasi penagihan di Lorong 1, Bagan Sungai Besar.

“Hasil ujian air kencing terhadap wanita ini mendapati dia positif dadah dan dia bersama-sama 27 yang lainnya diserahkan kepada AADK untuk dibawa ke pusat pemulihan,” katanya.

Nor Azmi berkata, operasi yang bermula jam 7.30 pagi dan berakhir pada jam 4 petang itu memberi tumpuan di sarang penagihan di Lorong 1, Bagan Sungai Besar.

“Semasa serbuan dijalankan di kawasan sarang penagihan, beberapa suspek cuba melarikan diri, bagaimanapun dengan kekuatan dan kecekapan anggota polis dan AADK kami berjaya menahan semua suspek,” katanya.

Selain itu, tegas beliau, polis turut mengambil tindakan dengan memusnahkan dan merobohkan khemah-khemah yang didirikan penagih di kawasan itu untuk melepaskan ‘gian’.

“Kami bertindak memusnahkan khemah-khemah tersebut dengan harapan agar kegiatan pengedaran dan penagihan dadah dilumpuhkan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata, hasil ujian urin yang dijalankan terhadap semua suspek yang ditahan mendapati seramai 37 mereka terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dan mereka ditahan selama 14 hari untuk tindakan lanjut.

“Hasil serbuan di kawasan terbabit, polis mencekup seramai 27 penagih dadah yang disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (APD) (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan sembilan lagi daripadanya didapati langgar syarat.

“Sementara itu, seorang daripada mereka disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.