Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

22 Okt 2015 Senarai hitam kontraktor culas

Senarai hitam kontraktor culas
Suee Lim (kiri) berpuas hati dengan kerja menaik taraf jalan sepanjang 300 meter dengan peruntukan sebanyak RM80,000 di Bagan Sekinchan.


SEKINCHAN – Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) digesa mengambil tindakan tegas termasuk menyenarai hitam mana-mana kontraktor yang gagal melaksanakan kerja membina dan menaik taraf jalan mengikut spesifikasi ditetapkan.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, projek membina dan baik pulih jalan menerusi peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) yang disalurkan kerajaan negeri itu perlu dilaksanakan dengan sempurna semata-mata untuk kepentingan rakyat.

Justeru, katanya, MDSB perlu memantau kerja perlaksanaan itu dengan lebih teliti bagi memastikan kontraktor yang diberi tanggungjawab dan amanah untuk melaksanakan projek kerajaan negeri tidak menjalankan kerja sambil lewa.

“Di Sekinchan misalnya, saya dapati ada kontraktor yang memenuhi spesifikasi ditetapkan, tetapi ada sebilangan kecilnya tak serius menyebabkan jalan yang dibaik pulih kembali rosak,” katanya kepada Sinar Harian.

Suee Lim berkata, MDSB juga dicadangkan supaya hanya memberi tender kepada kontraktor yang menunjukkan prestasi yang baik sahaja diberi tanggungjawab melaksanakan projek kerajaan negeri.

“Kita tak boleh kompromi dengan kontraktor yang tak bertanggungjawab ini kerana saya mahu semua projek seperti menambah baik dan menaik taraf infrastruktur dilaksanakan mengikut perancangan dibuat kerajaan negeri agar dapat dinikmati sepenuhnya oleh rakyat,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, kontraktor yang dipilih itu mestilah memenuhi beberapa kriteria sebelum sebarang projek diberikan kepada mereka seperti mempunyai pengalaman, memiliki rekod kewangan yang kukuh dan tidak mempunyai rekod buruk.

“Saya tak mahu tuduh sesiapa, tapi kalau diberi tanggungjawab mereka mestilah menjalankan kerja dengan baik dan mengikut spesifikasi ditetapkan,” katanya.

Beliau menjelaskan, setiap tahun, kerajaan negeri memperuntukkan wang Marris sebanyak RM3 juta setahun di setiap Dun di negeri ini dan jika kerja itu ibarat melepaskan batok di tangga ia sudah tentu memberi gambaran tidak baik kepada kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri prihatin terhadap permintaan rakyat dalam konteks memajukan pembangunan dan menaik taraf infrastruktur untuk rakyat. Soal ini kita mesti laksanakan dengan baik, kalau tak nanti ia akan beri gambaran buruk,” katanya.


Kemaskini pada 2015-10-26 14:25:29 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page