Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

23 Okt 2015 : 268 ekor anjing liar ditangkap

268 ekor anjing liar ditangkap
Kontraktor swasta menangkap anjing berkeliaran di belakang premis perniagaan di Sungai Besar.

SABAK BERNAM – Unit Vektor Bahagian Kesihatan Awam Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dengan kerjasama kontraktor swasta berjaya menangkap sebanyak 268 ekor anjing liar di tiga kawasan utama iaitu di Sekinchan, Sungai Besar dan Sabak Bernam.

Yang Dipertuanya, Azlinda Azman berkata, operasi selama tiga hari berturut-turut pertengahan Oktober itu menunjukkan peningkatan jumlah tangkapan sebanyak 58 anjing berbanding operasi sama pada tahun lalu yang merekodkan tangkapan sebanyak 210 anjing pada Mac lalu.

Azlinda berkata, jumlah tertinggi tangkapan anjing adalah di kawasan Sungai Besar iaitu sebanyak 162 anjing, manakala sebanyak 74 anjing lagi dari Sekinchan dan 32 anjing lain ditangkap di sekitar Sabak Bernam.

“Daripada pecahan kawasan pula, jumlah tangkapan tertinggi di sekitar Pekan Sungai Besar yang mencatatkan sebanyak 37 tangkapan, manakala 28 tangkapan di Bagan Sungai Besar Lorong 1 dan 2 serta masing-masing 26  tangkapan  di Bagan Sekinchan Lorong 6 dan Bagan Sekinchan,” katanya.

Menurut Azlinda, lokasi operasi tangkapan itu tertumpu di tempat tumpuan awam seperti di kawasan perumahan, pasar, taman permainan kanak-kanak, rumah ibadat dan persisiran pantai.

Katanya, dalam operasi itu, MDSB membayar sebanyak RM45 bagi seekor anjing yang ditangkap kepada pihak kontraktor dengan nilai keseluruhan yang dibelanjakan sebanyak RM12,060 bagi jumlah keseluruhan 268 anjing yang ditangkap.

“Kita hanya buat operasi ini dua kali setahun memandangkan kosnya yang tinggi dan sumber kewangan MDSB yang terhad, tetapi menerusi operasi ini kita berharap agar dapat mengurangkan aduan penduduk terhadap ancaman anjing liar,” katanya.

Katanya, pihak MDSB sentiasa memandang serius terhadap sebarang aduan penduduk tentang anjing liar yang berkeliaran dan boleh mengancam keselamatan, kacau ganggu dan mengundang sensitiviti masyarakat setempat.

“Kita pernah menerima beberapa kes aduan daripada penduduk yang mendakwa mereka digigit dan dikejar anjing liar di sekitar taman perumahan, selain rungutan ibu bapa pelajar yang sering terserempak dengan anjing liar setiap  kali menghantar anak-anak mereka pergi dan balik ke sekolah.

“Ini merupakan antara usaha yang kami lakukan bagi mengurangkan aduan penduduk berhubung perkara ini dan berharap masalah ancaman haiwan liar ini dapat ditangani secara berperingkat dari masa ke semasa,” katanya.


Kemaskini pada 2015-10-26 14:28:31 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page