Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

24 Okt 2015 : Geng cuci masjid teruskan misi

Geng cuci masjid teruskan misi
Noriah berbual dengan ibu kepada dua beradik geng cuci masjid, Asiah Rafie, 56, sambil disaksikan Annas (dua, kiri) dan Muhammad Hizammudin (kanan).

SUNGAI HAJI DORANI – Tiga geng kembara cuci masjid seluruh Semenanjung memasang keinginan untuk meneruskan usaha murni mereka dengan mengembara di beberapa masjid di Sabah dan Sarawak pada tahun depan.

Ketua kembaranya, Annas Aiman Jaffry, 27, berkata, sudah tiba masanya mereka meneruskan misi untuk menakluki dua negeri itu selepas berjaya menamatkan perjalanan sejauh 2,353 kilometer selama 239 hari mengelilingi Semenanjung tanah air.

“Kita dah berjaya bersihkan 140 masjid di Semenanjung dan kami mohon doa daripada rakan-rakan untuk ke Sabah dan Sarawak pada awal tahun depan,” katanya pada Majlis Meraikan ‘Geng Cuci Masjid’ di D’Muara Sungai Haji Dorani, di sini.

Annas dan adiknya, Muhammad Aidil, 24, serta seorang rakan mereka, Muhammad Hizammudin Alidin, 25, menyertai ekspedisi kembara berjalan kaki seluruh Semenanjung membersihkan masjid sejak 24 Januari sehingga 19 September lalu.

Menurut Annas, beliau berterima kasih kepada semua pihak yang menghargai usaha murni yang dilakukan selama ini dan menganggapnya sebagai satu amanah dalam menggerakkan kerja dakwah Islamiah.

“Nak kata kami hebat keliling Malaysia jalan kaki itu tak hebat jika nak dibandingkan dengan doa rakyat yang mengiringi perjalanan kami, jadi dengan doa itulah kami terus bertahan sehingga tamat ekspedisi,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon berkata, usaha yang ditunjukkan tiga anak muda ini adalah sesuatu yang unik kerana mereka berjalan kaki untuk jelajah Semenanjung.

“Ramai mungkin yang naik basikal, motosikal atau berkereta berhenti solat jemaah dan kemudiannya cuci masjid, tapi pengorbanan tiga geng cuci masjid ini sesuatu yang bermakna kerana mereka sanggup berpanas dan hujan demi mengimarahkan rumah ALLAH,” katanya.

“Saya tertarik dengan slogan kumpulan ini yang menyatakan 'seolah-olah esok tiada lagi'. Di masjid, mereka menimba sebanyak ilmu daripada bijak pandai sama ada semasa kuliah Subuh atau pun selepas tazkirah Isyak,” katanya.

Noriah yang juga Timbalan Menteri, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi berkata, sikap yang ditonjolkan tiga pemuda itu juga selaras dengan saranan hadis nabi yang menyebut ‘kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman’.

“Masjid adalah satu tempat yang mulia, jadi soal kebersihan perlu diberi keutamaan. Jaga dan peliharalah kebersihannya terutama tandas agar sentiasa bersih bagi tujuan keselesaan jemaah yang lain,” katanya.


Kemaskini pada 2015-10-26 14:45:28 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page