Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

14 Nov 2015 : Ops Sarang cekup 31 penagih

Ops Sarang cekup 31 penagih
Sebahagian mereka yang dicekup dalam operasi bersepadu yang digerakkan IPD Sabak Bernam dan AADK di di Lorong 2 Bagan Sungai Besar.


SUNGAI BESAR – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun antara 31 penagih yang yang didapati positif dadah dicekup dalam operasi bersepadu Ops Sarang di Lorong 2 Bagan Sungai Besar, di sini, pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, remaja yang tidak lagi bersekolah itu ditahan polis ketika menunggang motosikal untuk ke port penagihan.

Menurutnya, selain remaja terbabit, seramai 30 lagi lelaki berusia lingkungan antara 20-an hingga 50-an diberkas selepas didapati positif dadah dalam operasi sama.

“Operasi yang bermula jam 8 pagi dan berakhir jam 4 petang itu diketuai Asisten Superintendan, Ramly Raaf bersama 18 anggotanya dan sembilan anggota dari Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK),” katanya.

Nor Azmi berkata, kesemua penagih itu dicekup di dua lokasi iaitu di port penagihan dan menerusi sekatan jalan raya yang dibuat di kawasan itu.

Beliau berkata, operasi bersepadu antara polis dan AADK itu digerakkan dua kali sebulan secara berterusan sebagai salah satu mekanisme pencegahan jenayah dan membanteras gejala sosial serta mengawal kes penagihan dadah di daerah ini.

“Ini adalah operasi kali ketiga yang dilaksanakan polis dengan kerjasama AADK dalam usaha mengurang dan membanteras aktiviti penagihan dadah khususnya di kawasan tepi pantai di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata, seramai 10 penagih yang diserahkan kepada Bahagian Narkotik IPD Sabak Bernam disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan seorang lagi disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1983.

“Mereka yang ditahan ini didapati positif Ujian Air Kencing (Urin) dan direman selama 14 hari untuk tindakan lanjut, manakala empat yang ditahan dibebaskan selepas keputusan Urin menunjukkan mereka bebas daripada dadah,” katanya.

Sementara itu, katanya, seramai 21 penagih diserahkan kepada AADK yang mana17 daripadanya disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta yang sama dan dihantar ke pusat pemulihan, manakala empat lagi Orang Kena Pengawasan (OKP) diambil tindakan kerana melanggar syarat.


Kemaskini pada 2015-11-18 12:47:20 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page