Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

11 Dis 2015 : Penduduk kecewa, harapan hampa

Penduduk kecewa, harapan hampa

Miskam (kiri) bersama penduduk lain menunjukkan kawasan tapak projek pusat penyembelihan ayam di Lot E1, Jalan Sekendi berhampiran Simpang 4, Batu 37 Kampung Sekendi.

 

SABAK BERNAM – Harapan penduduk Kampung Sekendi untuk melihat sebuah projek perumahan dibangunkan di Lot E1, Jalan Sekendi, ibarat menagih janji tak kesampaian apabila kawasan itu bakal diwartakan sebagai Pusat Penyembelihan Halal Sabak Bernam.

Penduduk kampung mempersoalkan tindakan kerajaan negeri membangunkan pusat penyembelihan dan pemprosesan ayam secara berpusat bagi daerah itu dan bukannya seperti perancangan asal iaitu membina projek perumahan mampu milik seperti yang dijanjikan kepada penduduk.

Penduduk kampung Sekendi, Hashim Ramli, 73, berkata, kebanyakan penduduk mengharapkan supaya kawasan berhampiran simpang empat Batu 37 kampung itu dibangunkan bagi projek perumahan seperti mana yang diuar-uarkan pada tahun 2008.

“Ramai anak muda terutama bagi mereka yang dah kahwin masih lagi tak ada rumah sendiri, sebaliknya mereka terpaksa tinggal menyewa atau menumpang rumah ibu bapa masing-masing,” katanya.

Hashim memberitahu, penduduk amat kecewa apabila mengetahui kawasan itu bakal dijadikan sebagai pusat penyembelihan ayam yang semestinya mengundang suasana persekitaran tidak selesa kepada penduduk setempat.

“Jika pusat penyembelihan ini dibangunkan di kawasan ini, kita khuatir persekitarannya akan menimbulkan bau busuk, longkang tersumbat, serta longgokan sampah-sarap yang secara tak langsung menjejaskan imej kampung ini,” katanya.

Hashim berkata, kampung yang menjadi pintu masuk ke Dun Sungai Air Tawar itu turut membimbangkan kira-kira 1,800 penduduknya apabila tiada sebarang papan tanda projek dipasang di kawasan berkenaan.

“Kami tak nampak sebarang papan kenyataan kelulusan projek, kelulusan kerja tanah, kelulusan infrastruktur dan juga kelulusan bangunan seperti projek-projek lain sebelum ini sama ada dibuat oleh kerajaan mahupun syarikat pemaju.

“Sedangkan kalau kita tengok kerja meratakan tanah giat dijalankan oleh pihak terbabit,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Miskam Marimun, 41, berkata, projek itu dianggap tidak menghormati kehendak golongan muda terutama bagi mereka yang menetap di kampung yang sudah lama menanti projek perumahan dibangunkan di kawasan itu.

“Kenapa pusat penyembelihan tak dibina di kawasan yang lebih jauh daripada petempatan penduduk. Adakah wajar pusat ini dibina di tengah-tengah kampung ini. Tolonglah prihatin terhadap masalah kami,” ujarnya.

Menurut Ramli Abu Hanifah, 57, projek pemprosesan ayam itu pastinya menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan ahli keluarganya kerana projek itu dibangunkan berhampiran kediamannya.


Kemaskini pada 2019-04-09 16:33:04 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page