Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

15 Dis 2015 : Kesal tiada tindakan tegas diambil

Kesal tiada tindakan tegas diambil
Jamaludin mendakwa nelayan persisiran pantai sering terjejas ekoran diancam kehadiran bot pukat tunda yang menjalankan kegiatan menangkap ikan kurang lima batu naurtika dari persisiran Pantai Pasir Panjang.


SEKINCHAN - Kira-kira 200 nelayan persisiran pantai Pasir Panjang di sini, mengeluh ekoran sumber perikanan yang diperoleh mereka semakin berkurangan akibat pencerobohan nelayan bot pukat tunda di kawasan yang tidak dibenarkan.

Seorang nelayan, Jamaludin Jaafar, 62, berkata, hasil tangkapan sumber laut merosot teruk sejak lima tahun kebelakangan ini akibat kegiatan pengusaha bot pukat tunda yang menjalankan tangkapan di kawasan kurang lima batu nautika dari persisiran pantai.

Malah katanya, kegiatan itu semakin berleluasa dan mereka seolah-olah ‘kebal’ daripada tindakan pihak berkuasa apabila dilihat aktif menjalankan kegiatan itu terutama pada waktu malam hingga awal pagi.

“Kami nak tanya kepada pihak berkuasa apakah tindakan penguatkuasaan yang dijalankan dalam usaha memerangi ancaman bot pukat tunda?

“Adakah mungkin tiada tindakan tegas menyebabkan mereka (pengusaha bot pukat tunda) boleh masuk ke kawasan (nelayan pantai) sesuka hati sedangkan pihak berkuasa tidak mampu menangani ancaman tersebut,” katanya.

Jamaludin memberitahu, kerajaan mempunyai sistem dan alatan canggih bagi mengesan pencerobohan bot nelayan pukat tunda, bagaimanapun sejauh manakah sistem itu mampu membanteras aktiviti haram tersebut.

“Pukat tunda bukan saja memerangkap dan bunuh anak ikan bersaiz kecil (benih), tetapi juga memusnahkan batu karang yang menjadi tempat pembiakan hidupan laut. 

"Malah, beberapa tahun kebelakangan ini, bot pukat tunda dikesan semakin aktif beroperasi dan menangkap anak-anak ikan berikutan permintaan yang bertambah banyak daripada pengusaha projek akuakultur untuk makanan ternakan mereka," katanya.

Seorang lagi nelayan, Azli Murad, 31, berkata, nelayan yang menggunakan bot gentian optik bukan saja diancam kemerosotan hasil sumber laut, malah mereka khuatir bot yang dinaiki mereka tersangkut pada pukat bot pukat tunda.

Azli memberitahu, kebiasaan bot pukat tunda yang menjalankan kegiatan itu pada waktu malam tidak memasang lampu bagi mengelakkan kegiatan mereka itu dihidu pihak berkuasa.

“Bila tersangkut pada pukat bot pukat tunda, ia boleh menyebabkan bot yang dinaiki terbalik. Saya sendiri pernah dua kali nyaris terlanggar pukat bot pukat tunda, tapi nasib baik sempat elak.

“Selain mata pencarian kami terjejas dan risiko keselamatan, ramai antara kami yang mengalami kerugian akibat kerosakan jaring yang dipasang di pantai kerana dilanggar oleh bot pukat tunda,” ujarnya.

Sementara itu Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi berkata, pihak berkuasa diminta mencari mekanisme terbaik dalam menghadapi ancaman bot pukat tunda supaya kegiatan itu dapat dibanteras.

“Kita mohon rondaan lebih kerap dan tindakan penguatkuasaan lebih tegas diambil terhadap pencerobohan bot pukat tunda,” katanya.


Kemaskini pada 2015-12-22 10:54:52 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page