Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

19 Dis 2015 : Mangsa kebakaran dapat rumah

Mangsa kebakaran dapat rumah
Budiman (dua, kiri) bersama pemimpin setempat dan penduduk lain bekerjasama membantu kerja-kerja awal bagi menyiapkan rumah Nor Aini


PASIR PANJANG – “Jiwa  jadi kosong. Buntu fikir mana kami nak tinggal. Tak dapat nak bayangkan perasaan pada masa tu bila rumah musnah sekelip mata,” imbau Nor Aini Hassan, 54, selepas rumahnya di Parit 10, Pasir Panjang di sini, terbakar tujuh bulan lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari 25 Mei lalu, rumah kayu separa batu berusia 25 tahun itu hangus dijilat api, bagaimanapun semua penghuninya dilaporkan selamat dalam kebakaran itu.

“Kejadian yang memusnahkan rumah itu menyebabkan kami terpaksa tanggung kerugian antara RM60,000 ke RM70, 000,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Nor Aini, pada masa kejadian, anaknya, Shahar Mustaha, 29, berada di rumah, sementara dia berjumpa dengan seorang rakannya di kampung, manakala suaminya, Md Asal Suradi, 61, menghantar motosikal untuk dibaik pulih di sebuah bengkel.

“Banyak dokumen penting seperti geran tanah, barangan elektrik dan perabot tak sempat diselamatkan. Anak beritahu api masa itu terlalu marak dan dia keluar dari rumah sehelai sepinggang.

“Malah, kunci kereta (Perodua Myvi) juga tak sempat nak ambil untuk alihkan ke tempat lain sebab ada sedikit kesan terbakar pada kenderaan tersebut. Sehingga kini, kereta anak tak dapat dihidupkan kerana cip pada kunci dah terbakar,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia bersyukur kepada ALLAH SWT kerana anaknya yang ketika itu sedang memberi burung makan di luar rumah terselamat dalam musibah itu.

“Bagi saya nyawa adalah segala-galanya. Tak apalah musnah harta benda sekalipun, asalkan saya anak beranak selamat,” katanya.

Nor Aini berkata, selepas kejadian itu, dia dan keluarga menyewa sementara di sebuah rumah jiran sementara menanti bantuan daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri bagi membina semula rumah baharu.

“Sepanjang empat bulan kami menyewa di sana, kos sewa rumah sebanyak RM250 ditanggung sepenuhnya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) melalui kutipan tabung, manakala untuk bulan berikutnya kami bayar hingga ke hari ini.

“Alhamdulillah tak sampai setahun, kerajaan persekutuan pula bantu dengan menyediakan rumah di tapak sedia ada. Kami amat berterima kasih kepada Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi yang tak jemu-jemu bantu kami,” katanya.

Sementra itu, Budiman berkata, sebanyak RM45, 000 diperuntukkan ICU bagi membina baharu rumah terbabit yang dijangka siap dalam tempoh sebulan.

“Kerajaan persekutuan prihatin dengan apa yang dialami mangsa. Bantuan ini diharap dapat mengurangkan beban mereka apabila ia siap dibina kelak,” katanya.


Kemaskini pada 2015-12-22 11:01:27 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page