SUNGAI BESAR  - Keadaan Jalan Ban 3 Tali Air 7 Sekinchan, di sini, yang rosak dan berlubang sejak lebih setahun lalu dikhuatiri mengundang ancaman bahaya terhadap keselamatan pengguna jalan raya jika tidak ditangani segera.

Seorang penduduk Mohd Zailani Ismail, 52, berkata, penduduk bimbang kejadian tidak diingini boleh berlaku pada bila-bila masa saja di jalan itu sekiranya dibiarkan berpanjangan.

Menurutnya, permukaan jalan simpang empat itu berlubang dan beralun membahayakan pengguna kenderaan terutama penunggang motosikal terutama waktu malam dan hujan.

“Janganlah sampai ada kemalangan hingga kehilangan nyawa baru nak ambil tindakan,” katanya kepada  Sinar Harian.

Mohd Zailani berkata, terdapat beberapa kes kemalangan kecil berlaku di jalan yang menghubungkan enam kediaman penduduk dan laluan ke sawah.

“Pernah sekali saya nampak lori termasuk dalam lubang jalan selain beberapa kemalangan melibatkan motosikal,” katanya.

Tumisah Tarmuji, 60, berkata, kerosakan jalan itu dipercayai berpunca akibat sering dilalui jentera berat terutama ketika musim menuai padi.

“Keadaan jalan ni makin teruk dan ia mesti dibaiki semula sebab bahayakan pengguna jalan raya. Patutnya isu jalan ini tak dipandang sepi pihak berkuasa,” katanya.

Katanya, perkara itu pernah diajukan kepada pihak berwajib, namun hingga kini masih tiada jalan penyelesaian diambil.

“Sudah tentu kami inginkan jalan yang lebih sempurna walaupun tinggal di kampung.

“Kami harap, pihak bertanggungjawab tak terlepas pandang tentang aduan ini,” katanya.