SABAK BERNAM – Tatkala pelajar seusianya sibuk mengulang kaji pelajaran bagi menghadapi Ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), seorang calon peperiksaan itu bersama tiga pelajar berusia 16 tahun ‘sibuk’ mencuri motosikal.

Bagaimanapun, kegiatan yang turut didalangi seorang peniaga berusia 22 tahun itu tidak bertahan lama apabila semua mereka diberkas dalam Op Lejang menerusi pasukan khas diketuai Inspektor Muhamad Norizan Ramli.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.25 malam 8 September lalu, pasukan khas yang turut dibantu anggota Balai Polis Sekinchan berjaya mencekup keempat-empat suspek di sekitar Sekinchan.

“Kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam untuk siasatan lanjut,” katanya pada Sidang Media di Bilik Mesyuarat IPD Sabak Bernam, di sini, semalam.

Nor Azmi memberitahu, bertindak atas maklumat keempat-empat suspek, polis keesokannya menerusi pasukan khas yang sama turut memberkas seorang lagi suspek lelaki di Kilometer 72, Jalan Teluk Intan-Klang kerana disyaki terlibat dalam kegiatan sama.

Beliau berkata, semua suspek dilaporkan terlibat mencuri sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda 115Z yang diletakkan di hadapan sebuah kafe siber kira-kira jam 10.30 malam di Jalan Sekolah, Sekinchan, di sini, 7 September lalu.

Menurut beliau, motosikal itu disedari hilang sebaik mangsa ingin mengambil motosikalnya untuk pulang ke rumah.

Beliau memberitahu, hasil pemeriksaan polis di sebuah premis di Taman Aman Sekinchan, berjaya menemui motosikal terbabit dan sebuah lagi motosikal jenis Yamaha LC yang turut dilaporkan hilang di Pudu, Kuala Lumpur.

“Kesemua mereka ditahan reman selama 14 hari.

“Sekiranya didapati bersalah, mereka yang terlibat boleh dipenjara selama tujuh tahun,” katanya.