SEKINCHAN - Seorang wanita terpaksa menanggung kesakitan dan lebam pada jari manis tangan kanannya, gara-gara cincin emas yang dipakainya itu tidak dapat ditanggalkan sejak seminggu lalu.

Pegawai Operasi Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan, Mohammad Ishak berkata, wanita berusia lingkungan 20-an itu terpaksa mendapatkan khidmat khas memotong cincin.

Menurutnya, mangsa yang menetap di Sekinchan datang ditemani bapa dan ibunya ke balai bomba itu kira-kira jam 3.15 petang, setelah pelbagai usaha dibuat pihak keluarga bagi menanggalkan cincin terbabit.

“Mangsa mengadu cincin di jarinya tak dapat tanggal hingga menyebabkan jarinya mulai membengkak dan rasa sakit,” katanya.

Mohammad Ishak berkata, mangsa memaklumkan seorang rakannya mengesyorkan supaya dia mendapatkan khidmat khas dari balai bomba berdekatan.

“Pihak kami mengambil masa kira-kira lima minit untuk memotong cincin yang dipakai mangsa dengan alat pemotong khas.

“Mangsa dinasihatkan dapatkan rawatan lanjut di hospital memandangkan keadaan jarinya yang membengkak,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, kejadian cincin tersekat pada jari adalah kali kedua berlaku di Sekinchan selepas kejadian sama melibatkan seorang peniaga kedai makan.

Dalam kejadian Mac lalu, mangsa, So Chin Hui, 40, yang menetap di Site C, Sekinchan, di sini, terpaksa menanggung azab selama tiga hari selepas cincin besi yang dipakai di jari tengah tangan kirinya tersekat hingga menyebabkan jarinya membengkak.

Jari Chin Hui dilaporkan membengkak selepas terhempap papan kayu ketika seorang anaknya menutup papan kayu itu yang menjadi pengadang antara tingkat atas rumah kedai didiaminya.