Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

30 September 2016 : Pekerja kedai nyaris disamun

Pekerja kedai nyaris disamun
 
 

SUNGAI BESAR - Seorang pekerja di sebuah kedai menjual produk makanan halal mendakwa nyaris dipukau dan disamun seorang wanita dipercayai berbangsa Arab yang kononnya berpura-pura ingin membeli minuman kotak di kedai berkenaan.

Mimi Aida Zainal Abidin, 26, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, dia sedang menyusun barang di kedai, sebelum didatangi seorang wanita yang berpakaian baju putih, berseluar hitam dan selendang di kepala.

Menurutnya, wanita itu mengambil air minuman dari peti ais dan terus ke kaunter serta mengeluarkan wang tunai RM100 bagi membayar harga minuman RM6.

“Sebaik saya pulangkan baki dan resit pembelian, wanita yang bercakap dalam bahasa Inggeris itu minta saya tukarkan wang RM50 yang ada lambang 50 tahun merdeka,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun katanya, wang kertas RM50 seperti yang diingini wanita itu tidak ditemuinya pada mesin juruwang hingga mengakibatkan wanita itu ‘naik angin’ lalu cuba bertindak menarik laci simpanan wang berkenaan.

“Kelakuannya amat kasar dan cuba rampas duit yang ada dalam laci ni. Nasib baik saya sempat  tutup,” katanya.

Mimi Aida berkata, wanita itu kemudian memintanya memulangkan semula wang tunai RM100 dan terus beredar tanpa mengambil minuman kotak yang diambil sebelum itu.

“Lepas wanita itu beredar dari kedai, saya nampak dia naik sebuah kereta warna hitam yang dipandu seorang lelaki yang diletakkan di ruang parkir di depan premis bangunan ini,” katanya.

Dia turut bersyukur kerana kedai yang sentiasa memasang ayat suci al-Quran sepanjang operasi perniagaannya itu tidak mengalami apa-apa kerugian dalam kejadian tersebut.

“Saya anggarkan mungkin ada lebih RM2,000 wang tunai dalam peti laci wang ini. Mujur, wang ini tak lesap,” katanya.

Mimi Aida memberitahu, dia kemudiannya menceritakan kejadian dialaminya itu kepada seorang rakannya yang memaklumkan seorang rakan sekerjanya di sebuah restoran pernah dipukau dan disamun menggunakan modus operandi sama.

“Rakan nasihatkan saya supaya buat laporan polis sebab takut taktik sama digunakan wanita itu di kedai lain dengan mengumpan mangsa kononnya ingin beli dan bayar barangan, tetapi rupa-rupanya ingin menyamun,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)  Sabak Bernam.


Kemaskini pada 2016-10-11 14:19:57 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page