Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

05 Oktober 2016 : Sindiket edar heroin lumpuh

Sindiket edar heroin lumpuh
 
 

SABAK BERNAM - Polis melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah jenis heroin dengan nilai rampasan terbesar di daerah itu pada tahun ini dengan penangkapan seorang lelaki dalam serbuan di sebuah pondok, Jalan Pantai, Bagan Sungai Burung, di sini, Jumaat lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 6 petang yang diketuai Inspektor R Sanjeev Singh dan tiga anggotanya dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam itu, dadah jenis heroin seberat 1,158.44 gram, bernilai RM35,000 berjaya dirampas.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, serbuan dibuat selepas pihaknya menjalankan pengintipan hasil maklumat yang diterima daripada orang awam.

“Semasa serbuan, suspek yang berada di pondok itu bersendirian kelihatan gelisah dan mungkin sedang tunggu pelanggannya, namun tergamam sebaik polis menyerbu masuk ke dalam pondok terbabit,” katanya pada Sidang Media di Bilik Mesyuarat IPD Sabak Bernam, di sini, semalam.

Nor Azmi memberitahu, hasil pemeriksaan dalam pondok itu, polis menjumpai dua paket plastik besar mengandungi heroin seberat 918.68 gram yang disimpan dalam kota ubat nyamuk.

“Selain itu, polis juga menjumpai tiga bekas plastik kecil masing-masing mengandungi dadah jenis sama seberat 81.72 gram, 98.04 gram dan 60 gram yang telah diasingkan, disyaki untuk dijual kepada penagih,” katanya.

Beliau memberitahu, heroin yang diasingkan mengikut peket plastik kecil seberat satu gram itu dijual pada harga RM30 kepada penagih di sekitar kawasan itu.

“Kita percaya pondok ini menjadi sarang penagihan dan penjualan dadah,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, suspek bujang berusia 38 tahun yang tidak bekerja itu dipercayai membawa masuk dadah berkenaan dari Hutan Melintang, Perak.

“Semakan terhadap rekod kesalahan lampau mendapati suspek pernah ditahan atas kesalahan berkaitan dadah.

“Polis percaya masih ada suspek lain yang terlibat dalam sindiket rangkaian pengedaran dadah ini dan usaha untuk memburu mereka sedang dijalankan,” katanya.

Nor Azmi berkata, Ujian Air Kencing (Urin) yang dijalankan terhadap suspek juga positif dadah dan lelaki yang menetap di Kampung Banting, Sabak Bernam itu ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori,” katanya.


Kemaskini pada 2016-10-11 14:23:56 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page