SABAK BERNAM - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sabak Bernam bersedia sepenuhnya untuk berdepan sebarang kemungkinan sekiranya berlaku fenomena air pasang besar buat kali kedua yang dijangka berlaku bermula Ahad ini.

Pengerusinya, Mohd Khairuddin Md Som berkata, beberapa pelan tindakan sudah disediakan termasuk pertambahan pusat pemindahan jika situasi menjadi lebih buruk berbanding sebelum ini.

“Mengikut ramalan, dua tempat yang dijangka terjejas di daerah ini iaitu di Sungai Air Tawar dan Sungai Tengar.

“Bagaimanapun, kita tidak hanya tertumpu kepada dua tempat ini, sebaliknya ada juga tempat lain yang mungkin berisiko seperti di Kampung Sungai Labu Sekinchan dan Bagan Sungai Besar,” katanya.

Mohd Khairuddin yang juga Pegawai Daerah Sabak Bernam berkata, sebanyak empat pusat pemindahan utama dijangka dibuka dengan melibatkan tiga mukim di daerah itu iaitu Bagan Nakhoda Omar, Panchang Bedena dan Pasir Panjang.

“Bagi mukim Bagan Nakhoda Omar sebanyak dua pusat pemindahan disediakan iaitu di Dewan Parit Baru dan Dewan Sungai Air Tawar dengan masing-masing mampu memuatkan kapasiti mangsa banjir seramai 400 dan 250 orang.

“Sementara di mukim Panchang Bedena pula, satu pusat pemindahan dibuka iaitu di Dewan Sri Bernam yang mampu memuatkan seramai 800 mangsa banjir dan di mukim Pasir Panjang pula di Dewan Seri Sekinchan yang boleh menampung seramai 500 mangsa banjir,” katanya.

Beliau berkata, empat pusat pemindahan turut dijadikan sebagai penempatan untuk semua agensi kerajaan bagi mengurus mangsa banjir akibat fenomena air pasang besar.

Selain itu, katanya, pihaknya turut mengedar surat edaran kepada beberapa institusi pendidikan dan beberapa agensi kerajaan lain yang terletak di Sungai Lang yang turut berisiko diancam fenomena air pasang.

“Antara kawasan berisiko terjejas seperti Politeknik Sultan Idris Shah, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Sabak Bernam, Institut Latihan Dakwah Selangor (Ildas), Institut Perakaunan Negara (IPN) dan Balai Cerap, Sungai Lang.

“Kita juga sudah pun buat perbincangan di tempat ini termasuk menasihati pihak terbabit supaya mengosongkan premis mereka bagi mengelak berlakunya sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, penduduk diingatkan supaya bertindak segera sekiranya diarahkan berpindah ke pusat pemindahan banjir yang telah ditetapkan.

“Jangan berlengah-lengah kerana bencana biasanya berlaku pantas sehingga mendatangkan bahaya yang tidak terjangka,” katanya.

Beliau berkata, bilik gerakan bencana juga mula beroperasi hari ini dan sebarang maklumat boleh terus berhubung dengan pegawai bertugas di talian 03-32247058 atau 03-2241963.