SUNGAI AIR TAWAR - Benteng penahan ombak sepanjang kira-kira 100 meter di Kampung Sungai Air Tawar di sini, mendap dan pecah susulan fenomena air pasang besar awal pagi, semalam.

Kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu mengakibatkan limpahan air dari Sungai Bernam memasuki parit berhampiran seterusnya ke Kunci Air Tebuk Mendeling, di sini.

Bagaimanapun, limpahan air yang kembali surut itu tidak menjejaskan kawasan kediaman penduduk berhampiran terutama bagi mereka yang menetap di kawasan rendah.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, berlakunya mendapan tanah pada benteng kampung itu, selain terdapat runtuhan kecil sepanjang 10 meter yang menyebabkan air pasang besar melimpah masuk ke parit.

Pengerusi Unit Peladang Kampung Sungai Tengar Utara, Ahmad Ibrahim berkata, benteng penahan ombak yang mendap dan runtuh sudah dijangka penduduk sejak projek penebangan pokok-pokok hutan di kawasan berhampiran sungai di kampung berkenaan dilaksanakan.

“Pihak terbabit tebang pokok hutan di kawasan ini untuk bangunkan projek tanaman kelapa sawit kononnya nak bangunkan pertanian dan ekonomi penduduk di kawasan ini...nasib baik projek ini dihentikan segera,” katanya.

Ahmad memberitahu, pokok hutan yang tumbuh di kawasan berpaya yang biasanya menjadi pertemuan antara air sungai dan air laut itu sebenarnya bertindak sebagai penampan hakisan ombak sekali gus melindungi kawasan persisiran dari pukulan ribut serta angin kencang.

“Saya tak pelik kalau benteng ini pecah sebab dah tak ada pokok nak lindungi ancaman air pasang di sini,” katanya.

Menurutnya, jika tiada tindakan serius diambil pihak berwajib, dikhuatiri penduduk di tiga kampung berisiko terjejas apabila air limpahan dari sungai itu memasuki kediaman dan memusnahkan tanaman pertanian.

Bagaimanapun katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Sabak Bernam telah mengambil tindakan segera dalam menangani ancaman fenomena alam itu.

“Kita berterima kasih kepada JPS sebab peka dengan masalah ini dan saya difahamkan petugas mereka sentiasa memantau perkembangan air pasang ini termasuk pada awal pagi,” katanya.

Sub kontraktor yang menjalankan kerja-kerja penambakan di kawasan itu, Rusli Musa berkata, antara langkah awal dilakukan termasuk menambak semula benteng runtuh dan mendap di pesisir sungai berkenaan.

“Kita jangka ratusan lori tiga tan metrik diperlukan bagi menambak semula ban mendap dan pecah dengan anggaran sekurang-kurangnya 1,000 tan metrik diperlukan bagi kerja baik pulih sementara ini.

“Kita sedaya-upaya siapkan kerja ini petang ini (semalam) bagi elak kejadian lebih buruk berlaku pagi esok (hari ini),” katanya.