SABAK BERNAM - Murid Tahun 6 Sekolah Kebangsaan (SK) Khir Johari, Sabak Bernam, yang tertusuk gunting pada keningnya, 18 Januari lalu dijangka dibenarkan pulang dari Hospital Sungai Buloh (HSB), Isnin depan.

Bapanya, Nuri Shamsuddin berkata, anaknya, Asraf Saiefuddin, 12, yang semakin pulih kini menjalani rawatan biasa dan perlu menghabiskan antibiotik.

“Esok (hari ini) jika tiada apa-apa halangan, doktor akan buka jahitan di bahagia kepalanya. Selepas jahitan dibuka, mungkin Isnin ini dibenarkan pulang,” katanya yang menetap di Kampung Haji Ismail.

Sinar Harian 20 Oktober lalu melaporkan, seorang murid Tahun 6 di sebuah sekolah di sini, nyaris buta setelah sebilah gunting tertusuk di bahagian atas kening kanan dan hampir mengenai matanya.

Kejadian cemas itu berlaku kira-kira jam 12.20 tengahari, ketika mangsa sedang menyiapkan tugasan pendidikan seni di sekolah berkenaan.

Menurut sumber, perbuatan tidak disengajakan itu berlaku selepas mangsa terjatuh hingga menyebabkan gunting yang dipegangnya itu tertusuk di bahagian kening matanya.