SABAK BERNAM - “Mak dan bapak, tolonglah beri kepercayaan pada kita. Kita boleh jaga diri sebab kita tak pernah pilih kawan yang mengajak ke arah kemaksiatan...” itu antara isi kandungan surat yang ditinggalkan seorang anak yang menghilangkan diri sejak Selasa lalu.

Surat tulisan tangan yang ditinggalkan Siti Aisah Selamat, 24, di atas meja di bilik tidurnya itu juga sempat berpesan kepada seluruh keluarganya agar tidak bimbang terhadap keselamatannya.

“Mak dan Bapak, kita minta maaf untuk kali yang terakhir masa baca surat ini, kita dah tak ada kat (di) Malaysia sebab perlu tinggalkan mak, bapak, embah (nenek) dan adik-adik,” tulis Siti Aisah dalam surat itu.

Kehilangan misteri Siti Aisah yang merupakan siswazah cemerlang itu menjadi tanda tanya memandangkan bekas penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengajian Akidah dan Agama dari Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) yang memperoleh purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.70 itu digambarkan sebagai seorang yang periang dan amat rapat dengan keluarganya.

Ibunya, Asnah Mat Kasa, 48, berkata, kehilangan anak kedua daripada lapan beradik tu disedarinya kira-kira jam 6 pagi Selasa lalu selepas menunaikan solat Subuh.

“Mulanya saya kejutkan empat anak saya untuk bersiap ke sekolah dan bersarapan pagi.  Saya minta anak ketujuh, Siti Nurhidayah, 12, kejutkan kakakn (Siti Aisah) di biliknya, tapi anak saya beritahu kakaknya tiada dalam bilik. Saya kemudiannya suruh tengok kakak di bilik nenek atau bilik air, tapi masih tak jumpa,” katanya.

Cemas setelah anaknya gagal ditemui, Asnah yang menetap di Parit 13 Sungai Panjang, kemudiannya mencari Siti Aisah di sekeliling rumah, namun kelibatnya tidak kelihatan lalu menghubungi suaminya, Selamat Kasdi, 50.

“Waktu kejadian, suami saya bertugas sebagai pengawal keselamatan di Asrama Yayasan Selangor di Pekan Sabak Bernam.

Sementara itu, Selamat memberitahu, sebaik terima panggilan telefon daripada isterinya itu, dia bergegas pulang ke rumah.

“Saya bersama dua anak berusaha menjejak Siti Aisah di tempat kerja lamanya di Kampar, Perak. Berdasarkan maklumat daripada kawannya yang pernah bekerja di tempat sama memaklumkan gerai mereka bekerja itu sudah lebih tiga bulan ditutup,” katanya.

Selamat kemudiannya membuat laporan kehilangan anaknya itu di Balai Polis Sabak Bernam.

“Saya dan anak sulung serta dibantu seorang abang yang menetap di Johor Bahru meneruskan usaha mencari anak saya di sekitar Shah Alam, Kuala Lumpur dan Banting. Namun tiada sebarang petunjuk berhubung dengan kehilangannya,” katanya.

Tambahnya, anaknya itu sepatutnya melaporkan diri untuk bertugas di Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Shah Alam pada Isnin depan.

Selamat berkata, selain berusaha mengesan dan mencari anak perempuannya di sekitar Lembah Klang, usaha turut dipergiat salah seorang anaknya menerusi hebahan di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp meminta orang ramai menyalurkan maklumat jika menemui Siti Aisah.

Orang ramai yang mengenali Siti Aisah diminta menghubungi bapa dan ibunya di talian 017-2413725 dan 013-2440139 atau mana-mana balai polis berhampiran.