Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

15 November 2016 : Cuaca mendung tak halang lihat Supermoon

Supermoon
 
 

SABAK BERNAM - Cuaca mendung dan berawan tidak menghalang kira-kira 40 jemaah Masjid Sungai Tengar, di sini, menyaksikan bulan penuh atau Supermoon malam tadi.

Pegawai Sains Balai Cerap Selangor, Norameen Burhanuddin berkata, program cerapan itu diadakan bersempena kedudukan bulan berada pada jarak yang paling dekat dengan bumi sejak dari tahun 1948.

"Keadaan langit yang pada mulanya berawan yang kemudiannya beransur cerah membolehkan jemaah masjid ini berpeluang menggunakan teleskop untuk menikmati keindahan bulan purnama yang saiznya dianggarkan 14 peratus lebih besar daripada biasa.

"Dua jenis teleskop mudah alih digunakan untuk aktiviti cerapan di sini iaitu teleskop Calestron Nexstar 4se dan teleskop Dobsonian," katanya kepada Sinar Harian.

Norameen berkata, orang ramai yang hadir berasa teruja kerana melihat keindahan bulan dengan lebih jelas dengan menggunakan teleskop yang disediakan.

"Program cerapan menggunakan teleskop di masjid-masjid sekitar daerah Sabak Bernam merupakan antara aktiviti yang dilakukan Balai Cerap Selangor bagi memberikan peluang kepada orang ramai untuk melihat bulan dan planet melalui teleskop.

"Orang ramai juga boleh hadir ke Balai Cerap Selangor yang terletak di Sungai Lang untuk melakukan aktiviti mencerap angkasa menggunakan sistem teleskop robotik canggih yang terdapat di Balai Cerap Selangor," jelasnya.

Pada 30 November ini, Balai Cerap Selangor akan mengadakan cerapan anak bulan Rabiul Awwal 1437 Hijrah bermula jam 6.30 petang.

"Orang ramai yang berminat untuk merasai pengalaman mencerap anak bulan boleh hadir bersama-sama pada masa tersebut untuk mencerap anak bulan nanti," katanya.

Kejadian ini juga dikaitkan dengan fenomena air pasang besar yang berlaku ketika ini berikutan kedudukan bulan berada pada jarak yang paling dekat dengan bumi yang mempengaruhi air pasang dan surut laut.


Kemaskini pada 2016-11-17 11:52:23 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page