Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

03 Disember 2016 : Cemas berdepan puting beliung

Cemas berdepan puting beliung
 

SABAK BERNAM - Dua beranak melalui detik cemas selepas mendakwa dikejutkan dengan kejadian puting beliung di tengah laut iaitu kira-kira enam batu nautika dari darat di Perairan Sungai Nibong, di sini, petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu berlaku ketika, Hamidi Zakaria, 46, dan anaknya, Muhammad Muslim, 18, sedang menjaring ikan.

Hamidi yang keluar menangkap ikan sejak jam 6 pagi berkata, dia melihat dengan jelas pusaran angin itu bergerak perlahan dari satu arah ke arah lain yang dianggarkan hanya kira-kira tiga batu nautika dari sampan fiber yang dinaikinya bersama anak sulungnya itu.

“Perasaan saya waktu tu sama ada hidup atau mati sebab sampan yang saya kemudi waktu tu terpaksa menempuh ombak besar dan laut bergelora.

“Masa kejadian, bot kami terhuyung-hayang, saya hanya sempat baca surah-surah tertentu dalam Al-Quran dan berdoa agar saya dan anak selamat.

“Anak saya tak pernah lalui detik macam ni… mukanya pucat dan saya tahu dia dalam keadaan ketakutan,” kataya.

Hamidi yang menetap di Kampung Batu 23 Sungai Nibong berkata, pusaran angin itu berlaku kira-kira 30 minit dan dia bersyukur kerana selamat pulang.

Sementara itu, beberapa penduduk yang ditemui Sinar Harian di Kampung Batu 23 Sungai Nibong turut mengakui turut menyaksikan kejadian yang berlaku di tengah-tengah laut.

Isteri Hamidi, Aidah Mohd Dasuki, 36, berkata, dia sempat merakam dan melihat sendiri kejadian puting beliung berkenaan, namun jauh di sudut hatinya itu risau tentang keselamatan suami dan anaknya.

“Sepanjang saya berniaga di tepi pantai ini, tak pernah nampak awan hitam seperti itu. Ini kali pertama saya laluinya.

“Saya bimbang kalau apa-apa berlaku pada suami dan anak. Cemas juga dibuatnya bila saya hubungi suami tapi dia (Hamidi) tak angkat,” katanya.

Aidah yang berniaga goreng pisang di pantai itu berkata, dia bersyukur apabila suami dan anaknya selamat dalam kejadian itu.

“Saya lega bila nampak kelibat suami datang ke gerai saya lepas balik dari laut. Alhamdulillah, semuanya selamat,” katanya.

Seorang peniaga kedai makan, Siti Fairus Ismail, 27, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas anak saudaranya memaklumkan ternampak awan hitam pekat membentuk seperti belalai gajah.

“Saya cakap dengan dia (anak saudara) itu puting beliung. Saya dan bapa terus ke jeti nelayan untuk melihatnya dari jarak lebih dekat.

“Bila saya sampai di jeti, saya nampak ada beberapa penduduk sedang merakam gambar dan video tentang kejadian ini,” katanya.


Kemaskini pada 2016-12-15 15:53:31 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page