SUNGAI BESAR - Seorang ibu yang sepatutnya menjadi suri tauladan dan contoh yang baik, tergamak membawa tiga anaknya termasuk berusia dua tahun mencuri di sebuah pasar raya, di sini, malam semalam.

Kejadian berlaku pada kira-kira jam 8 malam yang mana wanita berusia 30an itu dikatakan menjalankan kegiatan tidak bermoral tersebut bersama adik perempuannya berusia 28 tahun dan ibunya berusia 65 tahun.

Menurut sumber, lebih menjengkelkan apabila suspek bersama dua ahli keluarganya itu sanggup meninggalkan tiga beradik itu di pasar raya selepas kegiatan mereka dihidu pekerja kaunter.

"Suspek yang menetap di Kampung Sungai Haji Dorani itu meninggalkan anak-anaknya berusia dua, 10 dan 15 tahun di pasar raya berkenaan.

"Ketiga-tiga suspek mencuri tiga troli mengandungi pelbagai jenis barangan keperluan dan peralatan sekolah bernilai kira-kira RM1,500. Bagaimanapun mereka bukan sahaja gagal mencuri troli berkenaan, malah meninggalkan tiga anak di pasar raya itu," kata sumber berkenaan.

Katanya, suspek bersama ibunya sempat melarikan diri menaiki sebuah kenderaan dipercayai kereta jenis Proton Wira tetapi adik bongsu suspek berjaya dicekup oleh pengawal keselamatan bertugas.

Sumber tersebut memberitahu, suspek kemudiannya menyerah diri kira-kira dua jam selepas kejadian untuk mengambil tiga anaknya yang ditinggalkan di pasar raya tersebut.

"Maklumat diberikan dua suspek yang berjaya ditahan membawa kepada penangkapan suspek ketiga, iaitu ibu suspek sendiri dan kesemuanya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam untuk siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa mengesahkan kejadian dan memaklumkan, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.