Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

10 Disember 2016 : Saran guna baja berunsur silika

Saran guna baja berunsur silika
 

SABAK BERNAM - Kawasan tanaman padi di Sekinchan dan beberapa kawasan lain di Sabak Bernam yang diserang penyakit hawar daun bakteria (BLB) memerlukan langkah-langkah pencegahan agar wabak itu tidak merebak dengan serius.

Pengarah Pembangunan Kawasan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor, Elyas Saad berkata, antara langkah itu termasuk membersihkan pakaian dan peralatan dengan pembasmi kuman selepas melaksanakan kerja di kawasan tanaman padi yang berpenyakit.

Menurutnya, pencegahan itu penting sebelum pesawah melaksanakan kerja-kerja di kawasan tanaman padi yang bebas daripada penularan wabak berkenaan.

“Elakkan penggunaan baja unsur N yang berlebihan terutama pada musim hujan dan kawasan yang pernah diserang penyakit.

“Gunakan ikut kadar yang disyorkan iaitu tidak melebihi 120 N sehektar dan diberikan secara berperingkat,” katanya.

Elyas berkata, pesawah sebaliknya digalakkan menggunakan baja berunsur silika iaitu antara 50 hingga 75 kilogram sehektar bagi meningkatkan ketahanan pokok.

“Kita juga harap pesawah tidak bekerja sewaktu tanaman dalam keadaan basah,” katanya.

Beliau berkata, bagi mengelakkan jangkitan pada tanaman pada musim depan pula, beberapa langkah kawalan perlu dilakukan termasuk membiarkan sawah yang telah dituai kering dan menyembur racun rumpai glufosinate ammonium bagi mempercepatkan pengeringan jerami dan tunggul padi.

Katanya, pesawah juga diminta melakukan penyediaan tanah dengan sempurna iaitu dua kali bajak dan biarkan tanah terdedah selepas bajak pertama bagi melupuskan sumber penyakit.

“Sediakan saliran air dan sistem pengairan yang baik serta laksanakan peralatan sawah supaya paras air sekata,” katanya.

Beliau turut mencadangkan pesawah menggunakan varieti benih sederhana rentan seperti MR219 dan MR220 CL2 terutama pada musim dua penanaman padi di samping menggunakan anak benih yang bebas penyakit serta menggunakan biji benih yang sah.

“Kawasan tanaman padi yang diserang penyakit mesti dibersihkan daripada rumpai yang jadi perumah kedua penyakit dan jalankan pemantauan penyakit secara berterusan supaya serangan dapat dikesan lebih awal.

“Pembekal perkhidmatan digalakkan guna sekam bakar sebanyak 70 peratus dan tidak digalakkan guna pencampuran tanah atas yang tidak terawat dan sekam halus,” katanya.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan, kira-kira 1,500 hektar tanaman padi di Sekinchan terjejas teruk akibat penularan BLB sejak November lalu hingga mengakibatkan pengeluaran hasil padi di kawasan itu merudum berbanding sebelum ini.

Pesawah mendakwa, keadaan itu disebabkan baka padi varieti MR 284 yang kurang daya tahan penyakit terutama dalam musim cuaca tidak menentu sejak beberapa bulan lalu.


Kemaskini pada 2016-12-15 16:02:47 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page