SABAK BERNAM - “Saya nampak sebuah jentera bomba masuk ke jalan rumah arwah atok… selang beberapa minit, rakan sekampung maklumkan pada saya rumah atok dah terbakar,” kata Mohd Tilal Fitri Abdul Rani, 50.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, rumah pusaka berusia lebih 70 tahun peninggalan Allahyarham Ahmad Kasim hangus terbakar di Kampung Batu 39, di sini, pagi tadi.

Mohd Tilal berkata, hatinya luluh dan kakinya menggeletar ketika itu selepas menyaksikan sendiri rumah kayu itu musnah dalam kebakaran.

“Perasaan saya sedih bila lihat rumah tempat kelahiran saya ini dijilat api…sekelip mata saja rumah ini rentung,” katanya kepada Sinar Harian.

 Menurut Mohd Tilal, rumah itu didirikan Ahmad Kasim dan kemudiannya diserahkan kepada ibunya, Safiah Ahmad, 70 untuk menetap dan menjaga rumah berkenaan bersama keluarga.

Bagaimanapun, katanya,rumah itu diserahkan ibunya kepada kakaknya, Salwa yang menetap di Kedah pada ketika itu.

“Makcik saya (Salwa) balik semula ke Sabak Bernam lepas suaminya meninggal dunia. Dia menetap di sini beberapa tahun dan kemudian tinggal bersama anaknya.

"Sekarang, rumah ini dijadikan persinggahan keluarga yang tinggal di luar kawasan untuk pulang ke kampung.

“Anak dan cucu arwah atok termasuk saya dan keluarga yang tinggal berhampiran jaga rumah ini dengan baik,” katanya.

Mohd Tilal turut bersyukur kerana tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku terhadap keluarganya kerana pada kebiasaannya, ahli keluarganya balik bercuti sempena musim cuti persekolahan ini.

“Bila dapat tahu ada kebaran, memang hati saya rasa berdebar, nasib baik tiada ahli keluarga kami di dalam rumah ini,” katanya.

Sementara itu, Penolong Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Sabak Bernam,  Mohd Saufi Zakaria berkata,  pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 7.32 pagi.

Beliau berkata, sebuah jentera bomba dan enam anggota tiba di tempat kejadian kira-kira lima minit selepas itu.

“Sebaik pasukan bomba sampai di tempat kejadian, kita dapati rumah struktur kayu ini sudah 90 peratus terbakar dan api merebak dengan cepat,” katanya.

Mohd Saufi berkata, pihaknya berjaya mengawal kebakaran itu kira-kira 12 minit selepas itu.

“Punca kebakaran dan jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan,” katanya.